Sarawak mampu capai perubahan

MIRI: Adun Pujut Dr Ting Tiong Choon percaya Sarawak mampu menikmati perubahan dan mendapatkan kembali autonomi dalam pendidikan dan perkhidmatan kesihatan di Sarawak.

Katanya, ia hanya dapat dilakukan apabila Kerajaan Sarawak ikhlas dalam menitikberatkan rakyat di negeri ini. Katanya lagi, keadaan di Sarawak tidak dinafikan sangat berbeza berbanding negeri lain.

Ini kerana, infrastruktur, kemudahan utiliti asas dam struktur populasi yang ada memerlukan Sarawak untuk mempunyai model fleksibel bagi menyampaikan perkhidmatan terbaik dalam pendidikan dan kesihatan.

“Untuk menjadi negeri unggul di Malaysia, ekonomi kita perlu berkembang pada kadar yang pantas daripada biasa.

“Rakyat Sarawak yang berada di luar dengan kepakaran dalam bidang tertentu, misalnya industri, kesihatan, pelancongan dan sektor teknologi perlu digalakkan kembali ke tanah air untuk berkhidmat membangunkan Sarawak,” ujarnya.