Sarawak mampu capai sasaran penuh bekalan elekrik menjelang 2025

KUCHING: Sarawak mampu mencapai sasaran elektrifikasi penuh menjelang 2025 melalui Pelaksanaan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Pelaksanaan Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).

Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata kini liputan bekalan elektrik 24 jam di negeri ini mencapai sekitar 92 peratus.

Ini bermakna masih ada lapan peratus atau 26,400 isi rumah di luar bandar masih belum mendapat bekalan elektrik 24 jam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) untuk Kampung Sungai Bedaun, Kampung Sungai Batu, Kampung Sungai Lumut dan Kampung Buntal di sini, semalam.

BELB adalah inisiatif kerajaan negeri dalam usaha untuk membekalkan elektrik ke kampung dan rumah panjang luar bandar yang tidak disambung dengan sistem grid utama.

Stephen Rundi berkata bagi kawasan pedalaman, bekalan elektrik diperoleh daripada sumber tenaga alternatif seperti sistem solar atau mikro hidro melalui SARES.– BERNAMA