Sarawak masih jadi destinasi pilihan pengunjung dari serata dunia

KUCHING: Sarawak tahun lalu memperoleh anggaran RM 293.27 juta impak ekonomi dan dijangka memperoleh perbelanjaan secara lansung delegasi sebanyak RM159.38 juta dari 80 acara yang berlangsung ketika ini sehingga tahun 2026.

Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata dari jumlah tersebut, RM 17.59 juta hasil cukai dijangka dapat menjana sekurang-kurangnya 23,276 pekerjaan untuk rakyat Sarawak pada acara yang diadakan pada tahun tersebut.

Katanya, angka tersebut membuktikan Sarawak masih menjadi destinasi pilihan kepada hadirin dari serata dunia untuk hadir secara fizikal atau maya.

“Apa yang perlu kita lakukan ketika ini adalah untuk maju ke hadapan seiring dengan kehendak industri.

“Tanpa diragui, menganjurkan mesyuarat dan acara dalam keadaan dunia yang terkesan oleh Covid-19 memerlukan kita untuk membuat penyesuaian dan perubahan besar,” katanya pada pelancaran kempen ‘Meet Differently’ oleh Place Borneo di laman Zoom hari ini.

Beliau memberitahu, ketidakpastian dalam kalangan pengembara dan hadirin perlu ditangani dengan garis panduan dan dasar yang mesra industri.

Jelas Abdul Karim, penganjur destinasi, pengurus acara dan penganjur perjalanan perlu memberi jaminan kepada orang ramai dan ini dapat dilakukan melalui dasar bayaran balik mesra, insuran perjalanan boleh disesuaikan dan banyak lagi.

Katanya lagi, acara yang diadakan melalui platform maya dilihat sebagai penting untuk memacu industri ke hadapan.

Beliau yakin pada masa hadapan, kombinasi acara diadakan secara maya dan fizikal adalah satu langkah ke hadapan.

“Ia memberikan yang terbaik antara dua kombinasi tersebut dan memberi pilihan kepada hadirin dari serata dunia untuk hadir secara fizikal atau maya,” ujarnya.

Katanya, melalui kempen ‘Meet Differently’, komunikasi dapat dilakukan secara terus dalam negeri sementara kesediaan dan langkah berkaitan kesihatan, kebersihan dan keselamatan yang diambil akan meningkatkan keyakinan delegasi dan para hadirin.

Beliau memberi jaminan Kerajaan Sarawak sentiasa bersedia untuk membantu dalam memberikan maklumat mengenai amalan baik dan garisan panduan untuk tempat, pengurus acara untuk mengadakan acara pada masa akan datang.

Dalam masa yang sama beliau menyeru pengurus acara perniagaan untuk memperkukuh kerjasama dengan Business Event Sarawak yang dikenali di peringkat antarabangsa melalui kempen pemasaran ‘Tribe Legacy Sarawak’.

“Saya menyeru kesemua rakan industri untuk bekerja dengan rapat bersama BESarawak, sebagai hala tuju bersama untuk membangunkan acara hybrid.

“Ini adalah masa bagi kita untuk bersatu dan membangun acara perniagaan sebagai satu mesej positif untuk memperkuatkan industri,” kata Abdul Karim.