Sarawak masih kurang doktor

KUCHING: Sarawak masih kekurangan kemudahan, doktor, pakar kesihatan dan pegawai sokongan, kata Senator Robert Lau Hui Yew.

Beliau berkata, Hospital Sibu sekarang amat sesak dan perlu diperbesarkan kerana memberi perkhidmatan kepada populasi yang besar di kawasan pedalaman.

“Buat masa sekarang, Hospital Sibu dilihat menghadapi kekurangan perkhidmatan kesihatan yang ketara.

“Bagi lima tahun yang lepas, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, cuma RM2.83 juta telah dibelanjakan untuk menaik taraf Hospital ini iaitu bersamaan dengan RM500,000 setahun bagi sebuah hospital yang memberi perkhidmatan kesihatan kepada lebih kurang satu juta orang yang kebanyakannya penduduk luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2021, sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14, Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Beliau berkata, Hospital Sibu amat bertuah kerana mendapat sokongan daripada komuniti tempatan.

“Syarikat-syarikat tempatan telah menderma lebih kurang RM500,000 untuk pembelian dua buah alat perubatan Seegene bagi tujuan ujian Covid-19 atau Mesin Ujian PCR, dan pengubahsuaian sebuah pantri untuk dijadikan makmal ujian Covid-19.

“Saya berharap belanjawan ini mengandungi peruntukan untuk Hospital Sibu, yang amat memerlukan satu Bangunan Klinik Pakar dilengkapi dengan segala kemudahan sokongan, pakar-pakar perubatan dan pegawai-pegawai sokongan dimana anggaran kos adalah RM340 juta,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut membahaskan mengenai isu pendidikan dimana pendidikan mendapat belanjawan yang paling besar, iaitu RM50.4 bilion atau 15 peratus daripada jumlah Anggaran Perbelanjaan Kerajaan “Dalam 22 buah Universiti Awam dan tujuh buah Hospital Mengajar di Malaysia, terdapat sebuah universiti terletak di Sarawak, iaitu Unimas dan universiti ini tidak mempunyai Hospital Mengajar.

“Justeru, bilakah Sarawak akan mendapat Hospital Mengajar dan bilakah Sarawak akan mendapat lebih banyak universiti awam,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan bahawa lebih banyak universiti teknikal terutamanya dalam bidang pertanian ditubuhkan di Sarawak untuk mengeksploitasi potensi dalam sektor agromakanan.

“Kampus Universiti Putra di Bintulu yang dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia, haruslah dinaik taraf kepada sebuah universiti penuh dengan tumpuan dalam bidang pertanian seperti mana yang dirancangkan dahulu,” katanya.

Suara Sarawak