ARTIKEL

Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) Datuk Dr Azhar Ahmad

Sarawak masih perlukan 4,000 guru

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Masalah kekurangan guru sekolah menengah di Sarawak kini berada pada kadar minimum susulan penempatan baharu di seluruh negeri pada tahun ini.

Menurut Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) Datuk Dr Azhar Ahmad, ketika ini seluruh negeri hanya menghadapi kekurangan sekitar 200 guru sekolah menengah.

“Dari segi perjawatan di seluruh Sarawak, kita memerlukan sekitar 4,000 guru di peringkat sekolah menengah dan rendah.

“Sekarang ini, kekurangan sangat minimal bagi peringkat sekolah menengah iaitu kurang daripada 200 guru susulan penempatan baharu oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negara baru-baru ini.

“Manakala di peringkat sekolah rendah, kita masih kurang sekitar 1,000 guru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif ketika kunjungan hormat Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune ke Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) di sini.

Mengulas lanjut ujarnya, isu kekurangan guru merupakan masalah yang sering dihadapi di seluruh negara susulan terdapat guru yang bersara wajib, bersara pilihan, bertukar tempat bertugas, berpindah dan sebagainya.

“Tetapi isu ini juga sering diatasi secara berterusan, malah KPM memang mempunyai data serta mengambil maklum.

Cuma kita sentiasa meminta mereka memberi keutamaan kepada negeri ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pada tahun ini Sarawak menerima dua kali penempatan guru baharu dengan keseluruhan hampir 2,000 orang.

“Pada awal tahun kita menerima lebih 1,100 guru, manakala pada penempatan awal April ini kita mendapat seramai lebih 600 guru yang kebanyakan bagi sekolah rendah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, secara keseluruhan Sarawak mempunyai sebanyak 1,460 sekolah di seluruh negeri dengan 194 daripadanya sekolah menengah dan 1,266 sekolah rendah.

Pada bulan lalu, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, terdapat sekitar 2,000 kekurangan guru di Sarawak.

Sementara pada minggu lalu, seramai 6,034 guru baharu lantikan secara kontrak ditempatkan di sekolah-sekolah bawah kelolaan KPM di seluruh negara, dengan Sarawak menerima sekitar 600 guru baharu.

Daripada jumlah itu, seramai 1,858 calon ditempatkan di sekolah menengah manakala 4,176 lagi di sekolah rendah.

Pada tahun lalu, KPM mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah ini dengan melantik 18,792 guru baharu sepanjang 2023 di seluruh negara.

Dalam konteks ini di Sarawak sehingga Disember lalu, seramai kira-kira 1,100 guru baharu ditempatkan di negeri ini terdiri daripada siswazah keluaran universiti awam dan swasta.

Untuk rekod, sepanjang 2023 sehingga Mac tahun ini, seramai 2,577 guru ditempatkan di Sarawak, daripada jumlah tersebut sebanyak 1,247 guru ditempatkan di sekolah rendah, manakala 1,330 guru di sekolah menengah yang merupakan siswazah kelahiran negeri ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU