Sarawak masih PKPB

KUCHING: Sarawak masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, Sarawak belum mengadakan apa-apa perbincangan dengan Putrajaya mengenai perkara itu walaupun terdapat spekulasi PKP akan dikuatkuasakan di negeri ini.

“Buat masa ini, kita masih berada di bawah PKPB,” katanya ringkas ketika dihubungi sebuah akhbar tempatan, semalam.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, mereka belum mengetahui keputusan di peringkat persekutuan tentang pengisytiharan PKP yang akan berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun beliau memberitahu, JPBN akan mengumumkan perkara itu secepat mungkin sekiranya terdapat perbezaan keputusan mengenai penguatkuasaan sekatan pergerakan.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negeri-negeri membabitkan kes Covid-19 tinggi bagi mengekang penyebaran wabak tersebut.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, cadangan itu berikutan kes melebihi angka 3,000 bagi tempoh tiga hari berturut-turut dan tidak menunjukkan penurunan. Jelasnya, pihaknya telah mengemukakan cadangan pelaksanaan PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Sarawak.

Suara Sarawak