Sarawak mencatatkan lima kes Covid-19, hari ini

KUCHING: Sarawak merekodkan lima kes baharu Covid-19 hari ini dengan kesemuanya merupakan kes import membabitkan warga tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, empat kes positif Covid-19 tersebut dikesan di Daerah Sibu dan satu kes dikesan di daerah Bintulu.
Ujar beliau, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 1,130 kes.
“Bagi daerah Bintulu, kes 1,126 merupakan seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan (Kedah) berumur 5 tahun yang telah masuk ke Sarawak bersama ibu dan bapa beliau melalui Lapangan Terbang Bintulu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu.
“Kes masuk ke Sarawak kerana bapa beliau akan memulakan pekerjaan di sebuah syarikat perladangan di Bintulu dan kes telah menjalani saringan Covid-19 setelah tiba di Lapangan Terbang Bintulu.
“Kes telah dimasukkan ke pusat kuarantin bagi menjalani arahan kuarantin wajib selama 14 hari dan dikategorikan sebagai kes Import B iaitu telah mendapat jangkitan Covid-19 semasa berada di kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19 di Selangor,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.
Tambah Uggah, bagi daerah Sibu, kes 1,127, 1,128, 1,129 dan 1,130 merupakan empat orang wanita warga tempatan (Sarawak) yang telah disaring kerana mempunyai kontak rapat kepada kes 1,115.
“Kesemua kes ini bekerja di tempat yang sama serta tinggal di Daerah Sibu malah seorang daripada kes adalah kakak kepada kes 1,115 dan selainnya adalah kawan dan rakan sekerja kepada kakak beliau.
“Keempat-empat kes ini telah mengadakan kunjungan dan bermalam di rumah kes 1,115 (Kes ndeks) pada 24 hingga 26 Disember lalu dan kes-kes ini telah dikenalpasti sebagai kontak rapat kepada kes indeks,” ujarnya.
Jelas Uggah, kes tersebut dikategorikan sebagai kes Import C iaitu telah mendapat jangkitan daripada kes 1,115 semasa melakukan kunjungan ke rumah kes yang berada di Daerah Maradong.
“Siasatan lanjut kes ini dan pengesanan semua kontak-kontak lain kepada kes ini masih dilakukan,” katanya.