Sarawak mengesan satu kluster baharu, Kluster Jalan Pengiran

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Pengiran di daerah Matu, Mukah, Sarawak.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kluster tempat kerja ini melibatkan sebuah pusat pentadbiran daerah di Jalan Pengiran Matu.
“Indeks kes kepada kluster ini ialah kes ke-3,218, merupakan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) yang telah dikesan melalui saringan individu bergejala pada 24 Januari lalu setelah mengadakan kunjungan sosial ke daerah Sibu.
“Pengesanan secara aktif kepada kontak rapat dan ahli keluarga kepada kes ini telah mengesan tambahan tujuh kes positif Covid-19 baharu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Susulan penambahan kepada satu kluster baharu itu, Uggah mendedahkan terdapat sebelas kluster yang masih aktif di Sarawak setakat hari ini.