KUCHING: Kerajaan Sarawak kini memiliki sepenuhnya empat institusi pengajian tinggi (IPT) dan satu pusat latihan bagi menggalakkan generasi muda menimba ilmu demi kemajuan negeri pada masa hadapan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia termasuk Universiti Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS (iCats) dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).
“Kita harus menggalakkan anak-anak menimba ilmu dan untuk ke arah itu, Kerajaan Sarawak telah mengambil alih aset Universiti Swinburne, mempunyai 100 peratus aset amanah Universiti Curtin, UTS di Sibu dan juga menaik taraf iCats sebagai kolej universiti. Selain meningkatkan Centexs sebagai pusat latihan.
“Langkah seterusnya ialah mengisi universiti kita. Jika pendapatan Sarawak meningkat, kita akan memberikan sokongan dari segi biasiswa,” katanya.
Abang Johari yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak berkata demikian pada Majlis Samarindok Aidilfitri anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sini, malam tadi.
Menurutnya yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak, beliau telah meluluskan biasiswa untuk anak-anaka Bumiputera khususnya golongan B40 bagi membolehkan mereka menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.