ARTIKEL

Dr Abdul Rahman ditemani tetamu kehormat lain menunjukkan nanas ketika hadir merasmikan Kursus Perdana Rantaian Industri Nanas Negeri Sarawak 2026, hari ini.

Sarawak pacu nanas SG1 tembusi pasaran serantau dan antarabangsa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak berhasrat menjadikan Sarawak Gold 1 (SG1) sebagai varieti nanas premium beridentiti negeri ini yang berupaya menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sasaran penanaman SG1 pada tahun ini ditetapkan sebanyak 60 hektar, manakala program percubaan eksport ke Singapura sedang dilaksanakan.

“Kita mahu SG1 bukan sekadar menjadi varieti yang ditanam di Sarawak, tetapi berpotensi dibangunkan sebagai produk premium beridentiti Sarawak yang mampu menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.

“Kita perlu membina jenama, memastikan konsistensi kualiti dan memenuhi keperluan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail sempena perasmian Kursus Perdana Rantaian Industri Nanas Negeri Sarawak 2026 di Hotel 56, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Rundi memberitahu bahawa usaha memperkenalkan SG1 ke pasaran luar merupakan langkah awal dalam membina kedudukan nanas Sarawak sebagai produk bernilai tinggi.

Katanya, pengeluaran bagi pasaran eksport bukan sahaja memerlukan bekalan yang mencukupi, malah perlu mengambil kira aspek kualiti, konsistensi, logistik dan pematuhan terhadap prosedur yang ditetapkan.

Tambahnya, pembangunan varieti premium juga perlu bergerak seiring dengan pengukuhan rantaian nilai industri, bermula dari ladang sehingga produk sampai kepada pengguna.

“Kita mahu daripada kebun di Sarawak, nanas Sarawak berada di pasaran dunia,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Sarawak kini merekodkan keluasan tanaman nanas sebanyak 2,199.43 hektar, menjadikannya negeri kedua terbesar di Malaysia dari segi keluasan tanaman.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,480.10 hektar merupakan kawasan berhasil dengan jumlah pengeluaran sebanyak 33,231.55 tan metrik.

“Pencapaian ini menjadi asas untuk Sarawak memperkukuh lagi industri nanas menerusi pengeluaran produk premium dan peluasan pasaran eksport,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Golf Senior Pacu Pelancongan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 bakal kembali tahun depan selepas edisi sulungnya berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka