KUCHING: Sebanyak 2,281 umpan vaksin rabies melalui mulut (ORV) diedarkan manakala 3,579 anjing divaksin menerusi usaha pencegahan rabies di Sarawak.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak terus memperkukuh langkah pencegahan dan kawalan rabies melalui vaksinasi, pengawasan, penguatkuasaan, kesedaran awam, serta kerjasama dengan pelbagai pihak.
Katanya, ORV dilaksanakan bagi mencapai populasi anjing yang sukar ditangkap dan divaksin menggunakan kaedah biasa.
“Program ini menyediakan pendekatan peringkat akhir untuk mencapai anjing berkeliaran yang sukar ditangkap dan divaksin melalui vaksinasi biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian pada Majlis Pelancaran Rabies in Asia 2026 sempena Rabies in Borneo 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata program terbaharu itu membabitkan pengedaran 2,281 umpan ORV, selain vaksinasi 3,579 anjing menerusi usaha di lapangan.
Usaha itu, katanya, dilaksanakan melalui kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Pasukan Penguat Kuasa Jalur Imun (IBET), Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC), Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA), pihak berkuasa tempatan, dan rakan kerjasama lain.
Katanya, usaha berkenaan turut mendapat sokongan organisasi antarabangsa termasuk Mission Rabies dan Ceva Santé Animale.
Abang Johari berkata, usaha menangani rabies memerlukan kepakaran teknikal, pengalaman di lapangan, penyertaan masyarakat, dan kerjasama pelbagai organisasi.
“Ini menunjukkan bahawa menangani rabies memerlukan lebih daripada campur tangan kerajaan sahaja,” katanya.
“Ia memerlukan kepakaran teknikal, pengalaman di lapangan, penyertaan masyarakat, dan kesediaan pelbagai organisasi untuk bekerjasama ke arah matlamat yang sama,” ujarnya.






