Sarawak perkenal bantuan kewangan untuk ibu bersalin

KUCHING: Selepas memperkenalkan skim bantuan khas Endowment Fund sebanyak RM1,000 untuk anak-anak yang baharu lahir dinegeri ini, Kerajaan Sarawak kini sedang menghalusi cadangan untuk memberikan bantuan kewangan kepada ibu-ibu yang bersalin.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan tersebut akan dibawa ke DUN Sarawak sewaktu pembentangan bajet tahunan pada penghujung tahun ini.

“Tahun ini saya akan umumkan bantuan istimewa kepada golongan ibu yang berpantang kerana kita tahu tidak semua ibu mendapat gaji ketika cuti bersalin.

“Jumlah akan saya umumkan kemudian… tunggu hujung tahun,” katanya dalam Majlis Ibadah Korban N8 Satok di Kompleks Sukan Satok di sini, semalam.

Tambahnya, terdapat golongan ibu yang tidak dibayar gaji ketika cuti bersalin dan memerlukan wang untuk membeli keperluan bayi selama tiga bulan bercuti.

“Secara purata, seramai 40,000 bayi lahir dalam setahun dan ini bermakna bantuan tersebut akan diberi kepada 40,000 ibu.

“Bantuan ini diberikan kepada semua ibu yang dalam berpantang, tidak kira yang bekerja walaupun suri rumah kerana kita tidak mahu diskriminasi dalam pemberian bantuan. Bantuan ini katanya, sebagai menghargai peranan golongan ibu di negeri ini.