Sarawak perketat pintu masuk

KUCHING: Sarawak kini memperketatkan kawalan masuk pelawat khususnya dari China menerusi lapangan terbang di seluruh negeri ini, susulan wujudnya kes disyaki jangkitan koronavirus hari ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata tindakan serius itu diambil bagi mengekang penularan wabak berkenaan, walaupun kemasukan warganegara China ke Sarawak tidak begitu tinggi.

“Yang saya takut ramai pelancong China datang ke Sabah, mereka boleh masuk ke sini melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh di Miri.

“Jadi kita kena ketatkan kawalan masuk di Miri sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Ju Berambeh Makan Durian di perkarangan Surau Darul Qarar, Kampung Temedak di sini, hari ini.

Suara Sarawak