BANGKOK: Penyertaan Sarawak dalam Dialog Bangkok 2026: Dialog Menteri dan Industri sempena Gastech 2026 memperkukuh kedudukan negeri ini dalam landskap tenaga serantau dan global.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menghadiri dialog anjuran Menteri Tenaga Thailand, hari ini.
Menerusi sesi berkenaan, Sarawak berpeluang membawa perspektif serta aspirasinya dalam perbincangan strategik mengenai masa depan tenaga, merangkumi keselamatan bekalan, kemampuan kos, pembangunan industri dan peralihan ke arah tenaga rendah karbon.
Pada masa sama, sesi berkenaan berfokus kepada usaha menjamin bekalan tenaga, memperkukuh kerjasama antarabangsa, mengurangkan pelepasan karbon serta meningkatkan daya tahan sistem tenaga dalam menghadapi perubahan landskap tenaga dunia.
Sesi itu turut mengambil kira perkembangan pelaburan tenaga global yang mencecah AS$3.3 trilion pada tahun 2025.
Sementara itu, lebih 80 peratus pertumbuhan permintaan tenaga dijangka berpunca daripada ekonomi sedang pesat membangun dan negara membangun.
Dalam pada itu, cabaran utama turut diketengahkan pada dialog tersebut termasuk jurang antara dasar kerajaan dengan keupayaan industri untuk melaksanakannya.
Dialog itu turut mengulas mengenai proses kelulusan dan permit, ketidaktentuan fiskal, risiko kontrak serta kesan ketegangan geopolitik terhadap rantaian bekalan tenaga.
Pelibatan Sarawak dalam platform antarabangsa berkenaan turut memperluas ruang kerjasama dan pertukaran pandangan dengan pemain utama sektor tenaga dunia.
Ini selari dengan usaha Sarawak membangunkan sektor tenaga yang berdaya tahan, kompetitif dan mampan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni serta Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Petchem, Datuk Mohammad Ibrahim.
Sementara itu, dialog tersebut turut menghimpunkan menteri tenaga, ketua institusi tenaga antarabangsa serta pemimpin industri dan sektor kewangan dari Asia, Timur Tengah, Afrika, benua Amerika dan Australasia.




