Sarawak perkukuh konsep pertanian pintar

SARIKEI: Kerajaan Sarawak menyasar untuk membangunkan dua juta hektar tanah bagi menjalankan pelbagai aktiviti pertanian terutama dalam penanaman tanaman makanan.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, usaha itu bermatlamat untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030.

Beliau berkata, sektor pertanian juga akan terus dimodenkan dengan menggunakan teknologi pertanian pintar untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti selain mengukuhkan rangkaian bekalan.

“Bukan itu sahaja, lebih banyak Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) akan ditubuhkan manakala penyelidikan dan pembangunan akan dijalankan secara meluas, modal untuk usahawan agro-pertanian juga akan diberikan.

“Selain itu, pertubuhan peladang akan dikukuhkan agar mereka memainkan peranan yang lebih besar dalam hal ini. Kita yakin dapat mencapai matlamat tersebut dengan memberi kelebihan kepada daya saing,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Nanas 2019 di sini, malam tadi.

Beliau berkata, lokasi Sarawak yang strategik dan mempunyai iklim tropika dengan taburan hujan yang banyak selain mempunyai tenaga kerja yang rajin menjadi penggerak utama bagi transformasi pertanian.

Dua juta hektar tanah itu katanya, termasuk dalam empat kawasan pembangunan wilayah iaitu Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan Lembaga Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).

Malah ujarnya, terdapat juga tanah di kawasan Agropolitan Sadok dan kawasan Bakul Makanan Betong-Sarikei dan kawasan penternakan.

Hadir sama Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab, ADUN Meluan Roland Duat, Residen Sarikei, Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua dan Timbalan Residen, Abang Mohd Porkan Budiman.

Len Talif (tengah) menyempurnakan majlis perasmian Pesta Nanas 2019 sambil diperhatikan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab, ADUN Meluan Roland Duat, Residen Sarikei, Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua dan Timbalan Residen, Abang Mohd Porkan Budiman.