ARTIKEL

Fatimah, Miro (empat dari kanan) dan Ellis Suriyanti (tiga dari kiri) merakam gambar kenangan bersama ahli jawatankuasa Lions Club serta penari-penari kebudayaan tempatan semasa Majlis Makan Tengah Hari Muhibbah Warga Emas anjuran Lions Club di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sarawak perkukuh persediaan hadapi masyarakat menua menjelang 2028

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak sedang memperkukuh persediaan menghadapi masyarakat menua menjelang 2028 menerusi penyediaan latihan penjagaan warga emas, termasuk program khas untuk komuniti bagi memastikan golongan itu dapat menikmati kehidupan yang sihat, selamat dan sejahtera.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata kerajaan negeri melalui Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) telah menyediakan kursus penjagaan warga emas yang dilengkapi latihan praktikal dan pensijilan.

Menurutnya, sebanyak enam pengambilan kursus berkenaan telah dilaksanakan dengan setiap program berlangsung selama enam bulan.

“Penjagaan warga emas ini memerlukan sebenarnya profesional, sekurang-kurangnya ada ilmu dan latihan untuk menjaga warga emas.
“Kalau tidak pandai, kalau salah cara kita misalnya menukar lampin, menukar baju, membawa ke tandas, kita boleh menyebabkan kesakitan kepada mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Muhibbah Warga Emas anjuran Lions Club di sebuah hotel di sini, hari ini.

Fatimah berkata kerajaan turut meminta CENTEXS menyediakan program khas untuk komuniti, khususnya anak-anak dan ahli keluarga yang menjaga ibu bapa atau anggota keluarga yang memerlukan penjagaan khusus.

“Langkah itu penting kerana hasil kajian mendapati kebanyakan warga emas lebih memilih untuk terus tinggal di rumah berbanding ditempatkan di rumah jagaan.

“Ini supaya ia menjadi situasi menang-menang, dari segi fizikal, mental dan juga kesejahteraan sosial serta emosi,” katanya.

Beliau berkata program penjagaan paliatif turut dirancang sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi masyarakat menua.

Dalam pada itu, Fatimah berkata kesihatan, kewangan, perumahan dan mobiliti antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian apabila seseorang meningkat usia.

Katanya, warga emas perlu diberi peluang untuk kekal aktif dan berdikari selama mungkin bagi mengelakkan pengasingan sosial serta kemurungan.

“Seboleh-bolehnya, kita mahu warga emas kita masih berdikari selama mungkin, sihat selama mungkin dan dapat hidup dalam keadaan selamat, sihat dan sejahtera,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Lions Club International District 308-A2 Region 1 atas penganjuran program yang menghimpunkan lebih 500 warga emas dari Kuching, Kota Samarahan, Serian dan Bau.

“Usaha menghargai warga emas dan menggalakkan interaksi sosial penting bagi menyokong kesejahteraan golongan itu.

“Kesihatan, keselamatan dan hak warga emas sangat penting. Dengan kerjasama kita semua, kita dapat menyediakan komuniti dan persekitaran yang mesra warga emas serta kehidupan yang berkualiti,” katanya.

Turut hadir, Penaung Lions Club of Kuching Lavender merangkap ADUN Serembu, Datuk Miro Simuh; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur acara ini, Datin Ellis Suriyati Omar; dan Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng.

BERITA LAIN

Maklumat dasar kerajaan perlu sampai ke akar umbi

BINTULU: Penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan perlu diperluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan

BERITA TERBARU

RUAI