KUCHING: Keperluan Sarawak untuk memiliki sebuah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak akan dibawa ke Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pertimbangan.
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, ia kerana Sarawak satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mempunyai fasiliti tersebut berbanding Sabah dan Semenanjung.
“Banyak perkara, cadangan dan idea dibincangkan pada lawatan saya ke sini mengenai keperluan dan infrastruktur serta fasiliti untuk hospital di negeri ini.
“Terutamanya keperluan Kerajaan Sarawak sendiri untuk memiliki sebuah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak yang ketika ini hanya kita belum mempunyai perkhidmatan tersebut.
“Ia sama seperti hasrat Premier Sarawak untuk kita memiliki pusat kanser sendiri,” katanya pada sidang media selepas melawat Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini.
Untuk rekod pada September 2021, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang pernah membangkitkan di Dewan Rakyat bahawa sudah tiba masanya kerajaan membina sebuah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Sarawak dalam usaha menjaga kesejahteraan terbaik dua golongan tersebut.
Ujarnya, pembinaan hospital berkenaan amat penting dan perlu memandangkan setakat ini hanya terdapat di tanah Semenanjung dan juga Sabah.
Katanya, penyediaan kemudahan kesihatan itu akan dapat memberikan perkhidmatan perbidanan sakit puan dan kanak-kanak secara menyeluruh secara berkualiti.