
KUCHING: Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn menzahirkan rasa kecewa atas peruntukan yang agak sedikit disalurkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Belanjawan 2023.
Menurutnya, beliau sememangnya bersyukur dengan peruntukan yang diberikan, namun menyifatkan dana kepada negeri itu tidak mencukupi, mengambil kira kedaifan sekolah di negeri itu.
“Jumlahnya agak mengecewakan…seperti yang kita sedia maklum di Sarawak terdapat banyak sekolah usang.
“Kita tidak bercakap tentang berapa banyak sekolah yang kami ada kerana kami mempunyai beberapa ribu sekolah di sini, tetapi sekolah usang (daif) ini menjangkau lebih daripada 1,000 di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Cek Bantuan Dana Sekolah-Sekolah Mubaligh Sarawak 2022 di sini, hari ini.
Menjelas lanjut katanya, kali terakhir Sarawak diperuntukkan RM1 bilion bagi menaiktaraf dan membina sekolah di negeri ini namun jumlah itu tidak mencukupi dan hanya mampu membangunkan lebih kurang 100 sekolah sahaja.
“Melihat kepada peruntukan yang diberi, mungkin hanya beberapa sekolah baharu yang akan dibina di Sarawak…mungkin hanya satu sekolah baharu.
“Sedangkan terdapat beberapa sekolah baharu yang akan dibina dan beberapa tahun kebelakangan ini terdapat beberapa sekolah yang telah diluluskan tetapi masih belum dibina.
“Jadi saya harap, kementerian persekutuan akan melihat perkara ini dan meneruskan pembinaan sekolah-sekolah yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia sebelum ini,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Sagah juga berharap kerajaan akan memberikan lebih peruntukan untuk sektor pendidikan kerana Sarawak layak mendapat peruntukan yang lebih melihat kepada apa yang disumbangkan kepada Kerajaan Persekutuan.