KUCHING: Sarawak perlu memperluas industri hiliran berasaskan sumber asli bagi meningkatkan nilai ekonomi, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkukuh kepakaran tempatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, negeri ini perlu beralih daripada sekadar mengeksport sumber mentah kepada pembangunan industri yang mampu menghasilkan nilai tambah lebih tinggi.
“Daripada hanya mengeksport sumber mentah, kita perlu membina industri di sekelilingnya, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, memperluas peluang perniagaan dan membangunkan kepakaran tempatan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Korporat Sarawak (SCOPE) 2026: Daripada Visi kepada Realiti dalam Perjalanan Transformasi Sarawak di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, usaha itu perlu merangkumi pelbagai sektor termasuk gas asli, tenaga, pertanian, perhutanan, biodiversiti, karbon, data dan teknologi, dengan gas asli berpotensi menjadi asas kepada industri petrokimia, metanol serta produk berasaskan gas.
Perkembangan teknologi turut membuka peluang untuk Sarawak membangunkan industri baharu berdasarkan kelebihan sumber yang dimiliki, terutama sektor tenaga.
“Sarawak mempunyai sumber hidroelektrik, air, gas asli dan biojisim yang banyak, selain potensi tenaga solar.
Kelebihan ini perlu dimanfaatkan untuk membangunkan industri baharu, menghasilkan hidrogen, memperluas aktiviti hiliran dan menarik industri yang memerlukan tenaga bersih serta bekalan elektrik yang boleh dipercayai,” katanya.
Menurutnya, pembangunan industri baharu juga perlu disertai usaha memperkukuh modal insan supaya lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan kepakaran profesional dapat diwujudkan dalam negeri.
Pendekatan berkenaan penting bagi memastikan transformasi ekonomi memberi manfaat lebih besar kepada rakyat dan perniagaan tempatan, selain menjadikan ekonomi Sarawak lebih pelbagai, produktif dan berdaya tahan.
“Kita mesti terus melabur, belajar, berinovasi dan membina perkongsian.
Kita perlu menghubungkan kekuatan kita dengan perkembangan global dan mengenal pasti bidang yang membolehkan Sarawak mencipta nilai, membangunkan keupayaan baharu serta mengambil bahagian dengan lebih mendalam dalam ekonomi serantau dan global,” katanya.






