KUCHING: Kerajaan negeri akan bekerja rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan Pusat Kanser Sarawak dengan fasiliti yang komprehensif supaya rakyat tidak perlu pergi ke Semenanjung bagi mendapatkan rawatan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ia penting kerana kos rawatan kanser sangat mahal menyebabkan ramai tidak mampu mendapatkan rawatan swasta walaupun mempunyai insurans.
“Sebenarnya penubuhan pusat itu hampir dimuktamadkan dengan mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
“Namun berikutan perubahan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini, kita perlu bermula dari awal lagi dan akan bekerjasama dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung cadangan itu,” katanya.
Tambahnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga sangat prihatin serta bermurah hati dengan menawarkan pilihan kewangan kepada kerajaan pusat supaya rakyat Sarawak dapat memiliki kemudahan kanser terbaik dalam negeri secepat mungkin.
Dalam perkembangan berlainan, Dr Sim memaklumkan alat pengesan Tomografi Berkomputer Pelepasan Foton Tunggal (SPECT) bernilai RM11.63 juta telah tiba di Jabatan Nuklear, Pusat Jantung Sarawak pada Sabtu bagi meningkatkan kapisiti perkhidmatan kanser di negeri ini.