Sarawak perlukan lebih banyak hospital, pakar

KUCHING: Sarawak memerlukan lebih banyak hospital yang lengkap dengan doktor pakar sebaik sahaja Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya, dijangka pada tahun 2023.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Prof Dr Sim Kui Hian berkata ia merupakan salah satu daripada dua perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Beliau berkata perkara itu termasuk dalam perbincangan mengenai dana yang diperlukan Sarawak, dan satu lagi perkara dalam agenda perbincangan adalah berkaitan dengan inisiatif untuk kuasa autonomi pentadbiran.

“Contohnya Lebuhraya Pan Borneo yang sepanjang ribuan kilometer. Di semenanjung sana, dalam jarak seribu kilometer terdapat hospital lengkap dengan pakar bedah saraf, pakar bedah ortopedik, dan sebagainya, namun di Sarawak ini, contohnya dalam dua jam perjalanan masih temui satu bandar.

“Itu sebabnya kira perlukan autonomi pentadbiran sendiri supaya kita boleh membuat keputusan berhubung jumlah hospital dan jumlah pakar kerana jika kerajaan pusat yang membuat keputusan, mereka sering mengguna pakai norma kebangsaan dalam perkiraan mereka, dan ia tidak sesuai dilaksanakan di sini,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Saintifik Nasional ke-30 sempena Mesyuarat Saintifik Borneo 2019 di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut Dr Sim berkata Sarawak tidak memerlukan hospital yang besar seperti di Semenanjung kerana penduduk di sini tidak ramai, cuma ia memerlukan hospital yang lengkap dengan pelbagai kemudahan yang mencukupi untuk meliputi kawasan lebih luas. – Bernama

Suara Sarawak