Sarawak perlukan litar lumba

SARAWAK memerlukan sebuah litar lumba atau trek serba lengkap untuk kegunaan para pelumba, selain sebagai usaha untuk meningkatkan sukan tersebut di negeri ini.

Presiden Persatuan Sukan Permotoran Negeri Sarawak (SMA), Datuk Ahmad Ibrahim menjelaskan, terdapat permintaan tinggi daripada penggemar dan komuniti sukan permotoran di negeri ini, untuk memiliki sebuah litar lumba.

“Pengetahuan atau teknik kemahiran pengendalian kenderaan juga merupakan aspek penting bagi seseorang yang ingin berkecimpung dalam sukan ini yang cukup cabaran dan mempunyai risiko tinggi,” ujarnya.

Mengenai kemalangan di kawasan letak kereta Stadium Negeri, Petra Jaya baru-baru ini, Ahmad berkata, pihaknya mengambil serius isu tersebut.

“Ia bukanlah insiden yang pertama di kawasan tersebut. Sebab utama ia, bukan litar lumba sebenar.

“Tambahan pula, tiada aspek keselamatan yang diterapkan dan tiada pengawasan daripada pegawai atau marshall perlumbaan yang bertauliah di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Oleh itu, Menurut Ahmad mereka telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah baru-baru ini, bagi mencari jalan penyelesaian isu tersebut.

“Sebagai badan induk sukan permotoran di Sarawak, SMA akan merangka pelan strategik dan bekerjasama rapat dengan KBS.

“Ia bagi menyediakan program-program khusus seperti bengkel pengetahuan dan teknik kemahiran pengendalian kenderaan, kursus pengurusan litar lumba, kursus teknikal perlumbaan dan keselamatan serta banyak lagi yang akan menjurus ke arah pembangunan sukan ini,” jelasnya.

Selain itu, pihaknya juga akan memohon satu kawasan strategik untuk pembangunan litar lumba yang lengkap dan boleh diguna pakai untuk pelbagai jenis kenderaan seperti gokart, motosikal dan kereta.

“Yang pasti, litar lumba ini juga dapat mempromosikan Sarawak menerusi pelancongan sukan sebagai destinasi perlumbaan, di samping dapat menjadi saluran terbaik bagi mengatasi masalah sosial kepada golongan muda.

“Ia juga akan menjadi platform mengasah bakat-bakat baharu,” ujarnya.

CAP;
PRESIDEN SMA… Datuk Ahmad Ibrahim.

Suara Sarawak