KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sejumlah RM10 juta di bawah Bajet Sarawak 2022 untuk menubuhkan Tabung Pemudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan tahun depan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia bagi meningkatkan program dan promosi pelancongan di Sarawak, yang kaya dengan budaya dan etnik serta kepelbagaian dalam ekspresi seni.
“Saya amat berharap kita dapat meneruskan program yang sama untuk mewujudkan peluang dan meningkatkan usaha dalam mewujudkan kerjasama akademik serta penyelidikan antara universiti di pulau Borneo dan di seluruh nusantara.
“Ini sekaligus meningkatkan reputasi Borneo sebagai destinasi eko-pelancongan komersial dengan mempromosikan warisan budaya Borneo di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Ke-2 Sains Sosial dan Kemanusiaan 2021 (ICOSSH2021) dan Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kerajaan Sarawak dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem di sebuah hotel di sini, hari ini.
