Sarawak pilihan tepat

KOTA SAMARAHAN: Menyifatkan Sarawak sebagai kayu belian di tengah hutan tebal, Ayandeji Lateef Akanbi, 45, amat bersyukur kerana memilih negeri ini untuk menuntut ilmu.

Berasal dari Lagos, Nigeria, Ayandeji yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) pada tahun 2018 dalam bidang sains politik memilih Sarawak sebagai destinasi keempatnya menuntut ilmu selepas United Kingdom (UK), Kanada dan Amerika Syarikat (AS).

“Perjalanan saya ke Sarawak berjalan dengan lancar apabila penduduknya mudah mesra dengan orang luar.

“Saya juga melihat alam sekitar di Sarawak dipelihara dengan baik,” kata bekas penuntut Unimas ini kepada Suara Sarawak semalam.

Beliau yang kini bekerja sebagai konsultan di negara asalnya turut memuji perpaduan dalam kalangan rakyat negeri ini meskipun terdiri daripada pelbagai kaum.

“Saya kagum dengan perpaduannya walaupun dihuni oleh berbilang agama dan kaum,” ujarnya.