
KUCHING: Sarawak meraih hasil sebanyak RM11.9 bilion pada tahun lepas dan ini merupakan prestasi hasil tertinggi yang pernah dicapai.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jumlah itu melepasi unjuran hasil sebanyak 17 peratus daripada anggaran RM10.2 bilion.
“Ini adalah angka yang agak memberangsangkan apabila meraih hampir RM12 bilion daripada jangkaan awal sebanyak RM10.2 bilion.
“Jadi bagi tahun 2023, jika keadaan kembali normal maka kami menjangkakan mampu meraih hasil lebih RM12 bilion,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Hadir sama timbalan-timbalan Premier iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta menteri-menteri kanan kabinet negeri.
Abang Johari berkata hasil Sarawak terdiri daripada empat kategori utama iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai, terimaan bukan hasil termasuk geran dan pembayaran balik persekutuan.
Jelasnya hasil cukai menyumbang RM6.7 bilion atau 56 peratus daripada jumlah hasil, manakala kategori lain menyumbang 44 peratus.
“Di bawah kategori hasil cukai, Cukai Jualan Negeri (SST) menyumbang 84 peratus atau RM5.6 bilion daripada jumlah hasil cukai yang dikutip.
“Produk bercukai di bawah SST, antara lain terdiri daripada minyak dan gas, kelapa sawit dan aluminium.
“Prestasi yang lebih baik dalam kutipan SST adalah disebabkan oleh harga pasaran yang lebih tinggi pada 2022 untuk produk minyak dan gas serta produk kelapa sawit,” katanya.
Menjelas lanjut, Abang Johari berkata sebelum pengenalan SST ke atas produk minyak dan gas, khususnya bagi tahun kewangan 2018, hasil yang dikutip ketika itu ialah RM7.2 bilion.
Oleh itu, katanya prestasi hasil bagi tahun kewangan 2022 menyaksikan peningkatan sebanyak 65 peratus berbanding 2018.
Justeru, beliau berkata Kerajaan Sarawak akan terus mengkaji dan meneliti pelbagai inisiatif utama untuk meningkatkan hasil Sarawak melalui peningkatan, meluaskan dan mempelbagaikan sumber pendapatannya.
Katanya pada tahun 2022, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan seperti menguatkuasakan dasar dividen negeri ke atas badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan serta mengenakan SST ke atas arang batu.
“Usaha ini adalah penting kerana Kerajaan Sarawak terus bersungguh-sungguh meneruskan agenda pembangunannya dan untuk Sarawak menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030 seperti yang digariskan dengan jelas dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030,” katanya.