ARTIKEL

USAHA Sarawak beralih kepada sistem Transit Aliran Automasi (ART) merupakan langkah pertama ke arah menyahkarbonkan sektor pengangkutan.

Sarawak rawat iklim dunia yang terluka

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JIKA Antoine-Laurent de Lavoisier masih hidup, beliau pasti tersenyum kerana akhirnya, elemen ‘hidrogen’ yang ditemuinya pada 1778 akan menjadi penyelamat dunia hampir 250 tahun akan datang.

Manusia geliga ini bagaimanapun menemui ajalnya 16 tahun selepas penemuan tersebut, dengan nyawanya berakhir di atas pisau gulotin, atas isu pemalsuan cukai dan menjual tembakau.

Hidrogen kini menjadi sebutan popular kerana dilihat sebagai antara sumber utama yang boleh mengubah dunia — yang kini terancam oleh perubahan iklim secara global.

Sebelum ini, amaran demi amaran telah dilaungkan berkait ancaman yang bakal dialami dunia, akibat penipisan ozon.

Paling jelas dan membekas tentunya filem dokumentari arahan Davis Guggenheim pada 2006, An Inconvenient Truth.

Filem yang memenangi anugerah Akademi itu antara lain mengangkat kempen bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore yang mendidik dan menyedarkan orang ramai tentang pemanasan global.

Ia menampilkan tayangan slaid yang disampaikan lebih 1,000 kali kepada penonton di seluruh dunia.

Menyedari apa yang berlaku, dan mengakui dunia semakin terancam, maka negara-negara di dunia berhimpun di Paris, Perancis pada 2015.

Maka akad untuk menangani isu ini dilakukan dan perjanjian antarabangsa yang dikenali sebagai Perjanjian Paris atau Paris Climate Accord ditandatangani.

Perjanjian ini diakui dan diterima pakai oleh 196 pihak dalam Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP21) di Paris pada 12 Disember 2015, sebelum dikuat kuasa pada 4 November 2016.

Matlamat utamanya adalah untuk memastikan “peningkatan suhu purata global jauh di bawah 2°C di atas paras praindustri” dan “mengehadkan kenaikan suhu kepada 1.5°C di atas paras praindustri.”

Bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pemimpin dunia telah menekankan keperluan untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 ° C menjelang akhir abad ini.

Menurut Panel Antara Kerajaan PBB mengenai Perubahan Iklim, jika suhu ini melepasi risiko ambang 1.5°C, ia akan melepaskan kesan iklim yang jauh lebih teruk, termasuk kemarau yang lebih kerap dan teruk, gelombang haba dan hujan luar biasa.

Air laut juga menjadi panas, ais mencair dan yang menakutkan, air laut semakin tinggi.

Untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5°C, pelepasan gas rumah hijau mesti dicapai sebelum 2025 dan suhu ini perlu merosot lebih 43 peratus menjelang 2030. Kerana itulah ekonomi dunia perlu berubah.

Penggunaan bahan bakar fosil seperti gas dan minyak, perlu dikurangkan secara bertahap.

Manakala bahan bakar dan pelepasan karbon perlu ditangani segera.

Menurut Laporan Agensi Tenaga Antarabangsa yang bertajuk The Future of Hidrogen penduduk dunia perlu dididik mengenai hidrogen — yang dahulunya ditakuti, kerana dikaitkan dengan bom hidrogen.

Warga dunia perlu difahami bahawa sifat hidrogen adalah ringan, boleh disimpan, reaktif, dan mempunyai kandungan tenaga yang tinggi bagi setiap jisim unit, dan boleh dihasilkan dengan mudah pada skala perindustrian.

Hari ini kata laporan itu, wujud minat yang semakin meningkat dalam penggunaan hidrogen yang dilihat sebagai sistem tenaga bersih.

Hidrogen boleh digunakan tanpa pelepasan langsung bahan cemar udara atau mewujudkan kesan gas rumah hijau dan ia boleh dibuat daripada pelbagai sumber tenaga rendah karbon.

Justeru ia menjadi bahan yang sesuai untuk pengeluaran tenaga di samping elektrik boleh diperbaharui, biojisim dan nuklear.

Secara umum, hidrogen boleh menyumbang kepada tenaga masa depan yang berdaya tahan dan mampan.

Dalam kes ini, ia boleh digunakan untuk bahan bakar pengangkutan, pemanasan, pengeluaran keluli dan elektrik.

Ia boleh digunakan dalam bentuknya yang tulen, atau ditukar kepada bahan api berasaskan hidrogen seperti metana sintetik, bahan api cecair sintetik, ammonia dan metanol.

Penggunaan hidrogen dalam industri seperti pengeluaran keluli dan metanol, tidak memerlukan pemisahan hidrogen terlebih dahulu daripada gas lain.

Pada masa yang sama, menurut laporan tersebut, hidrogen berpotensi untuk mengukuhkan dan menghubungkan bahagianbahagian tenaga yang berlainan sistem.

Tenaga rendah karbon pula boleh dibekalkan dalam jarak yang sangat jauh dan bekalan elektrik boleh disimpan untuk memenuhi ketidakseimbangan bekalan dan permintaan mingguan atau bulanan.

Hidrogen hari ini malah digunakan kebanyakannya dalam penapisan minyak dan untuk pengeluaran baja.

Pun begitu, penggunaan hidrogen yang bersih dan meluas dalam peralihan tenaga global menghadapi beberapa cabaran.

Antaranya penghasilan hidrogen daripada tenaga rendah karbon adalah mahal pada masa ini.

Analisis IEA mendapati bahawa kos menghasilkan hidrogen daripada elektrik boleh diperbaharui boleh jatuh 30 peratus menjelang 2030 akibat penurunan kos tenaga dan peningkatan pengeluaran hidrogen.

Sel bahan api, peralatan mengisi minyak dan elektrolisis (yang menghasilkan hidrogen daripada elektrik dan air) semuanya boleh mendapat manfaat daripada pembuatan besar-besaran.

Hakikatnya, pembangunan infrastruktur hidrogen berlaku agak perlahan dan ini menghambat penggunaan yang meluas.

Harga hidrogen untuk pengguna pula sangat bergantung kepada berapa banyak stesen pengisian bahan api yang ada, berapa kerap ia digunakan dan berapa banyak hidrogen dihantar setiap hari.

Justeru jika dunia mahu menukar kepada ekonomi hidrogen seperti yang dilakukan Sarawak, ia memerlukan perancangan dan penyelarasan yang menyatukan kerajaan, industri dan pelabur nasional dan tempatan.

Realitinya, hidrogen hampir sepenuhnya dibekalkan daripada gas asli dan arang batu pada hari ini.

Ia sudah bersama kita pada skala perindustrian di seluruh dunia, tetapi pengeluarannya bertanggungjawab untuk pelepasan CO2 tahunan bersamaan dengan gabungan pengeluaran CO2 yang dihasilkan Indonesia dan United Kingdom.

Justeru dalam perjalanan menuju ke tenaga bersih pada masa depan, amat diperlukan memerlukan untuk penangkapan CO2 dan memastikan bekalan hidrogen yang lebih besar daripada elektrik bersih. Sarawak sekali lagi, sedang melaksanakan perkara ini.

IEA dalam laporannya yang dibentangkan kepada negaranegara G20, telah mengemukakan beberapa cadangan utama untuk meningkatkan hidrogen.

Antaranya, mewujudkan peranan untuk hidrogen dalam strategi tenaga jangka panjang.

Kerajaan negara, serantau dan bandar boleh membimbing jangkaan masa depan manakala syarikat juga harus mempunyai matlamat jangka panjang yang jelas, terutamanya mereka yang berada dalam sektor utama termasuk penapisan, bahan kimia, besi dan keluli, pengangkutan barang dan pengangkutan jarak jauh, bangunan, dan penjanaan serta penyimpanan kuasa.

Semua pihak juga perlu merangsang permintaan komersial untuk hidrogen bersih. Teknologi hidrogen bersih boleh didapati tetapi kos tetap mencabar.

Dasar yang mewujudkan pasaran mampan untuk hidrogen bersih, terutamanya untuk mengurangkan pelepasan daripada hidrogen berasaskan bahan api fosil, diperlukan untuk menyokong pelaburan oleh pembekal, pengedar dan pengguna.

Dengan meningkatkan rantaian bekalan, pelaburan ini boleh memacu pengurangan kos, sama ada daripada elektrik rendah karbon atau bahan api fosil dengan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon.

Perlu untuk menangani risiko pelaburan dalam mewujudkan aplikasi baru untuk hidrogen, serta serta memastikan projek bekalan hidrogen dan infrastruktur yang bersih, berdiri pada titik paling berisiko dalam lengkung penggunaan.

Pinjaman dan jaminan adalah diperlukan untuk membantu sektor swasta melabur, belajar dan berkongsi risiko dan ganjaran daripada hidrogen.

Bank dunia dan pembekal kewangan perlu melihat perkara ini dengan menyokong menyediakan instrumen kewangan kepada mana-mana negara terutama dari dunia ketiga yang hendak menukarkan negara kepada ekonomi hidrogen, serta mengeluarkan tenaga itu, bagi menggantikan penggunaan bahan bakar fosil dan berkarbon.

Selain itu, semua pihak perlu menyokong penyelidikan dan pembangunan berkait hidrogen untuk menurunkan kos.

Di samping pengurangan kos daripada skala ekonomi, penyelidikan adalah penting untuk meningkatkan prestasi, termasuk untuk menghasilkan sel bahan api, bahan api hidrogenbased dan elektrolisis (teknologi yang menghasilkan hidrogen daripada air).

Sarawak telah menggerakkan inisiatif ke arah mewujudkan bandar dan negeri yang berorientasikan hidrogen, malah telah mentafsirkan ekonominya sebagai ekonomi hidrogen atau ekonomi hijau.

Jika pengangkutan awam negeri ini yang digerakkan oleh hidrogen sebagai bahan bakar yang menujahnya, rakyat perlu bersatu hati untuk menukarkan mode kenderaan mereka kepada bahan bakar serupa.

Kerajaan perlu memikirkan cara bagaimana rakyat di negeri ini digalakkan menukarkan kenderaan mereka kepada yang berasaskan elektrik dan hidrogen.

Pada masa yang sama, stesen hidrogen perlu dilipatgandakan, bagi memberi keyakinan kepada rakyat untuk menggunakan kenderaan tersebut dengan selamat.

Mungkin agak ambitous namun ia perlu dilakukan dalam tempoh lima ke sepuluh tahun ini, kalau boleh.

Bahan bakar yang mahal, perlu direndahkan.

Dan Sarawak perlu bersyukur kerana memiliki anak negeri sendiri yang mengkaji perihal elektrolisis, Dr Colin Patrick — yang sebelum ini berjaya menemukan membran bagi merendahkan kos penghasilan gas tersebut.

Namun yang paling penting, ialah minat mendalam dan komitmen yang ditunjukkan pemimpinnya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjayakan aspirasi ini, kerana tanpa kesungguhan dan komited berterusan, usaha ini akan sia-sia.

Bayangkan semua kenderaan di Sarawak menggunakan tenaga hidrogen atau elektrik, tanpa mengeluarkan karbon; sudah pasti ia akan menjadi kawasan yang selesa didiami dan akan dicemburui banyak orang untuk dikunjungi.

Kuching berpeluang menjadi lokasi perintis untuk usaha ini, kerana komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaannya.

Ketika ini kenderaan rasmi Datuk Bandar Kuching Selatan telah beralih kepada kenderaan elektrik, dan tidak mustahil akan bertukar kepada hidrogen tidak lama lagi.

Dan begitu juga kenderaan rasmi penjawat awam lainnya.

Di pihak kerajaan, mungkin ada insentif yang boleh diberikan untuk lebih ramai rakyat menggunakan kenderaan bebas karbon bagi menyegerakan kita mencapai bandar raya bebas karbon, terutamanya menggunakan hidrogen sebagai bakar.

Usah bertanya tentang harganya yang kini sedikit mahal, kerana Sarawak bakal menjadi pengeluar hidrogen dan mengeksportnya.

Jika pengeluarannya banyak kerana sumbernya juga banyak dan murah, tidak mustahil ia akan menjadi bahan bakar yang murah di negeri ini kelak.

Dan inilah yang akan merealisasikan hakikat sebenar ekonomi hidrogen yang berlaku di Sarawak.

  • Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.

BERITA LAIN

Ketagih subsidi

ISU berkaitan subsidi kembali hangat diperkatakan. Adakah pemberian subsidi sesuatu yang harus terus diamalkan ketika beban hutang negara semakin membengkak? Bagaimanakah reaksi rakyat apabila subsidi

Tragedi dunia maya Si Kucing Gendut

FAT Cat, 21, atau nama sebenarnya Liu Jie, selebriti dunia gamer – permainan popular Honour of Kings – namanya tiba-tiba melonjak di dunia maya khususnya

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

Sik nyaman jangan makan

DI Sarawak selain agama, budaya dan pakaian – makanan merupakan benda paling sensitif jika orang luar menghina. Bukan orang Sarawak tidak menerima kekurangan, tetapi menghina

Selamat pagi cikgu

ADA yang tertekan kerana tinggal bersama-sama pesakit mental, ada yang daif dan ada yang terpaksa bekerja, demi kelangsungan hidup. Pada suatu hari, salah seorang murid

BERITA TERBARU