KUCHING: Pengiktirafan Sarawak dan Sabah sebagai wilayah bukti perjuangan pemimpin Sarawak dalam menegakkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di landasan yang tepat.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman berkata, terma-terma berkenaan pengiktirafan tersebut bagaimanapun harus diperincikan bagi memastikan hak termaktub di dalam MA63 dapat dicapai secara menyeluruh.
“Kita telah menukar terma Ketua Menteri kepada Premier untuk membezakan Sarawak dengan negeri-negeri lain di semenanjung.

“Dan hari ini terbukti apa yang telah kita lakukan dengan penukaran (Ketua Menteri kepada Premier) menunjukkan kita adalah satu wilayah yang lain.
“Kita amat gembira dengan kenyataan tersebut tetapi ia tidak akan berhenti di sini dan beberapa perkara perlu digerakkan lagi ke hadapan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir sebagai panel pada program The Sarawak Initiatives; Forum Belia Borneo: Agen Perubahan Malaysia Baharu di Hotel Riverside Majestic hari ini.
Jelas Fazzrudin, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sarawak dalam masa terdekat dijangka untuk mengadakan perbincangan lanjut berkenaan terma ataupun permohonan Sarawak untuk mengembalikan hak termaktub dalam MA63.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Ibu Negara memaklumkan bahawa Kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri, sebaliknya wilayah.