KUCHING: Pameran Industri Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) 2026 menjadi platform strategik menghimpunkan pemain industri serantau bagi membolehkan Borneo merebut peluang dalam pasaran halal global bernilai AS$5 trilion.
Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Sri Mohd Naroden Majais berkata, BIHAS yang julung kali diadakan membolehkan semua pihak berkongsi idea, strategi dan pengetahuan dalam usaha meningkatkan keupayaan pengeluaran produk halal untuk memenuhi permintaan pasaran dunia.
“Nilai pasaran industri halal di seluruh dunia kini mencecah AS$5 trilion atau lebih RM20 trilion, manakala pasaran Asia Pasifik pula bernilai sekitar AS$2.8 trilion.
“Pasaran ini amat besar dan terus berkembang setiap tahun, justeru ia menjadi antara faktor yang mendorong Kerajaan Sarawak menganjurkan BIHAS,” katanya ketika ditemui media pada pelancaran awal Borneo Kitchen sempena BIHAS 2026 di Tebingan Kuching, di sini, semalam.
Menurutnya, BIHAS menghimpunkan pemain industri dan usahawan dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam serta Kalimantan Barat dan Kalimantan Timur. “BIHAS 2026 akan dirasmikan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan majlis makan malam gala turut diadakan pada 22 Julai bagi memberikan pengiktirafan kepada pengusaha industri halal dari dalam serta luar negara.
“Pengusaha dari Singapura, Thailand, Arab Saudi, Brunei Darussalam dan Indonesia antara yang sedang dinilai bagi menerima pengiktirafan tersebut. “Mereka kini sedang dinilai bagi menerima pengiktirafan tersebut,” jelasnya. Dalam pada itu, beliau berkongsi bahawa Borneo Kitchen menjadi antara tarikan gastronomi utama BIHAS yang menjadi ruang untuk orang ramai menikmati dan mengenali pelbagai sajian tempatan.
“Nama Borneo Kitchen dipilih kerana program tersebut melibatkan penyertaan Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam serta Kalimantan Barat dan Kalimantan Timur. “Borneo Kitchen mempamerkan beberapa menu tempatan yang dipilih, dengan majoritinya dari kawasan Kuching dan mempunyai potensi untuk dipopularkan di seluruh Sarawak,” jelasnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Yang Di-Pertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha.
Untuk rekod, Borneo Kitchen berlangsung dari 20 hingga 23 Julai, bermula jam 10 pagi hingga 9 malam di Tebingan Kuching. Program itu mengetengahkan kekayaan warisan kulinari Sarawak menerusi pameran makanan, demonstrasi masakan cef selebriti dan persembahan kebudayaan. Pelbagai gerai makanan dan minuman turut disediakan sepanjang acara bagi memberi peluang kepada pengunjung menikmati aneka cita rasa tempatan Sarawak.
Cef selebriti yang juga Duta Cef MAGGI Malaysia dan Nestlé, Cef Muluk akan mengadakan demonstrasi masakan setiap hari dengan mengetengahkan resipi tradisional yang dipermudah, termasuk manuk pansuh dan nasi lapis laksa Sarawak. Selain itu, persembahan kumpulan muzik dan tarian kebudayaan akan diadakan dari 21 hingga 23 Julai, manakala sesi karaoke interaktif menjadi acara penutup pada setiap malam.






