KUCHING: Sarawak mungkin akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2024, sekiranya negeri yang sepatutnya menjadi penganjur menolak untuk berbuat demikian.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak bersedia untuk menggalas tanggungjawab menjadi penganjur temasya sukan dwitahunan itu.
“Pada perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh Tseow Suan pada 17 Januari lalu, kita berbincang panjang lebar mengenai pembangunan sukan termasuk Sukma.

“Kalau tidak keberatan, Sarawak mungkin akan menjadi tuan rumah Sukma 2024. Negeri yang diberi amanah untuk mengadakan sukan tersebut telah menolak untuk mengadakannya.
“Justeru, sekiranya tiada negeri yang sanggup untuk berbuat demikian, saya boleh katakan bahawa kita sanggup untuk mengambil tanggungjawab tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan ‘Seluhur Kasih, Sekalung Budi’ di sini, malam tadi.
Untuk rekod, Johor sepatutnya menjadi tuan rumah Sukma edisi ke-20 pada Julai 2020 tetapi ditangguhkan akibat penularan wabak Covid-19.
Bagaimanapun, edisi ke-20 tersebut telah diambil alih oleh Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur pada September 2022.
Seterusnya, Sukma Johor ditangguhkan ke tahun 2023, tetapi kemungkinan negeri tersebut ‘tawar hati’ dan tidak mahu menganjurkannya lagi.
“Satu-satunya negeri yang masih belum menjadi tuan rumah Sukma ialah Kelantan. Justeru, Kelantan telah ditawarkan untuk menjadi tuan rumah dan kami masih menunggu maklum balas mereka.
“Tetapi Exco Kelantan berkata mereka mungkin menghadapi masalah untuk menjadi tuan rumah kerana ketidaksediaan dari segi masa dan kemudahan,” jelasnya.
Tambahnya, Sarawak sudah bersedia untuk menganjurkan Sukma pada tahun hadapan dengan semua kemudahan sukan sudah lengkap kecuali velodrom yang dijangka siap menjelang 2026.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat; Setiausaha tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Morshidi Frederick dan pengarah Jabatan Muzium Sarawak yang baharu Nancy Jolhi yang merupakan bekas setiausaha tetap MYSED.