ARTIKEL

Sarawak sedia bantu negara rantau Asia capai matlamat sifar karbon menjelang 2050 – Abang Johari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak bersedia memberi khidmat dan menyediakan sumber untuk membantu negara-negara di rantau Asia, dan malah di luar Asia, mencapai matlamat sifar bersih karbon menjelang 2050, sejajar dengan usaha sejagat untuk menghindarkan bumi daripada malapetaka.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak mempunyai sumber dan keupayaan untuk membantu menyelesaikan masalah negara-negara di rantau ini yang tidak mempunyai sumber tenaga hijau atau tidak mempunyai keupayaan untuk menyimpan karbon atau keupayaan untuk menyerap karbon dioksida. 

“Oleh itu, julukan ‘Sarawak Bateri Asean’ atau ‘Sarawak Hab Tenaga Hijau’ bukanlah omongan kosong atau impian semata-mata,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2024.

Menjelas lanjut, beliau berkata Sarawak mempunyai potensi 20 GW daripada sumber hidro dengan kapasiti penjanaan sebanyak 5.4 GW pada saat ini yang membolehkan Sarawak menyediakan tenaga rendah karbon dengan tarif yang kompetitif kepada para pelabur. 

Justeru, Abang Johari berkata matlamat Sarawak seterusnya ialah untuk mengeksport tenaga ke Brunei dan Sabah serta penyaluran 1 GW ke Singapura menjelang 2032 melalui kabel dasar laut sepanjang 700 kilometer selain penyaluran 190 MW sedia ada ke Kalimantan Barat.

“Pada masa kini, Sarawak Energy (SEB) sedang melaksanakan dasar bekalan tenaga hingga 10 GW atau 10,000 MW menjelang 2030 melalui penjanaan hidro dan turbin gas,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Sarawak akan terus membangunkan potensi sumber tenaga hidronya dengan kaedah yang membawa kesan minimum kepada alam sekitar dan kehidupan manusia. 

Sehubungan itu, beliau memberitahu beliau telah memberi arahan kepada agensi berkaitan untuk mengkaji penjanaan kuasa dengan konsep sumber tenaga daripada empangan melata yang telah digunakan di negara-negara seperti Norway dan Kanada. 

“Dengan persetujuan penduduk setempat, projek tersebut akan bermula di Sungai Gat, Baleh, Kapit,” katanya.

Abang Johari menambah, sumber-sumber tenaga rendah karbon lain yang turut dibangunkan atau diteroka untuk memenuhi keperluan serantau, termasuk pengeluaran hidrogen hijau dan bahan bakar penerbangan yang dihasilkan daripada alga atau bahan api penerbangan mampan (SAF), solar terapung dan biojisim (biomass) dalam bentuk palet daripada sumber hutan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU