KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi jaminan akan menyediakan peluang kepada wanita Dayak yang berpotensi dan berkemampuan untuk memegang jawatan sebagai Pemanca atau Temenggong.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya mengambil maklum dan bersedia memberikan yang terbaik mengenai perkara tersebut yang dibangkitkan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) itu.
“Seperti yang diberitahu oleh Pengerusi SIDC Datuk Ir Alice Jawan, sekarang adalah masa yang tepat, setakat ini kita ada seorang Temenggong.
“Tidak ada Pemanca, sebelum ini ada tetapi beliau sudah meninggal dunia dan kita belum menggantikannya.
“Tetapi, saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memberi peluang kepada wanita yang layak untuk memegang jawatan itu kerana kita memerlukan banyak pemimpin yang berkebolehan dan baik di lapangan,” katanya.
Uggah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persidangan Kebangsaan Wanita Dayak di sini, malam tadi.
Terdahulu, Alice pada perasmian persidangan terbabit berkata dengan bilangan pemimpin masyarakat wanita yang tinggi di Sarawak, wanita Dayak mempunyai potensi dan keupayaan yang besar untuk dilantik ke peringkat seterusnya kepimpinan sebagai Pemanca atau Temenggong.