ARTIKEL

Abang Johari ketika ditemui media selepas merasmikan RAC2 di sebuah hotel di sini. - Foto: Ramidi Subari

Sarawak sedia peruntuk RM1 bilion, laksana sistem perparitan dan saliran tanaman padi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak bersedia memperuntukkan RM1 bilion untuk melaksanakan sistem perparitan dan saliran bagi cadangan projek penanaman padi di Stumbin, Tanjung Bijat dan Lingga di Bahagian Sri Aman.

Menurut Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kawasan tersebut meliputi tanah seluas 10,000 hektar yang memerlukan peruntukan RM2 bilion untuk pembangunan.

“Saya berjumpa dengan Datuk Seri Mohamad Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan) apabila beliau datang ke Kuching, dan saya memaklumkan kepadanya apa yang kita hendak lakukan untuk pengeluaran beras kita.

“Kita bandingkan Stumbin, Lingga dan Tanjung Bijat dengan kawasan di Kedah.

“Keluasannya hampir sama, jadi pelaburan yang diperlukan untuk saliran dan pengairan adalah lebih kurang RM1 bilion.

Abang Johari berucap ketika merasmikan RAC2 di sebuah hotel di sini. – Foto: Ramidi Subari

“Jadi saya minta, jika boleh Kerajaan Persekutuan turut beri peruntukan, dan menteri berkata beliau perlu berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga berkhidmat sebagai Menteri Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Rantau Kedua Pemuliharaan Agrobiodiversiti dan Penggunaan Lestari (RAC2) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata Sarawak bersedia untuk menyamai peruntukan yang diberi oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kejayaan projek itu.

“Saya berjanji kepadanya (Mohamad Sabu) bahawa kami bersedia untuk memperuntuk satu kepada satu.

“Jika Kerajaan Persekutuan peruntuk RM500 juta, kita akan padankan dengan RM500 juta lagi.

“Kalau RM1 bilion, kita sediakan RM1 bilion.

“Ini hanya untuk kawasan Stumbin, kita juga mempunyai rancangan yang sama untuk kawasan Simunjan dan Lundu,” katanya.

Tambahnya, 200,000 tan metrik beras boleh dihasilkan daripada 10,000 hektar itu dengan menggunakan teknologi terkini.

Menjawab soalan sama ada masih wujud keperluan untuk mengimport beras berikutan keberhasilan mengeluarkan beras yang mencukupi di negeri ini, Abang Johari berkata mengimport beras tidak lagi relevan jika pengeluaran beras di Sarawak mencukupi untuk kegunaan dalaman, malah ia boleh dieksport sekiranya mempunyai lebihan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata bagi memulakan projek itu, Sarawak telah memperuntukkan setengah bilion ringgit untuk pembangunan sistem perparitan dan saliran pada tahun depan.

“Bagi 2026, setengah bilion ringgit lagi, bermakna RM1 bilion untuk tanah seluas 10,000 hektar ini.

“Kos semakin meningkat, sebab itu kita mesti bekerja keras untuk menjana pendapatan demi Sarawak,” katanya.

Tambahnya, Sarawak mempunyai lebih banyak tanah sedia ada dan terdapat juga rancangan untuk memajukan pengeluaran padi di kawasan Limbang dan Lawas.

“Ini berpotensi menghasilkan tambahan 400,000 hingga 500,000 tan metrik beras.

“Dengan itu, lebihan pengeluaran Sarawak boleh membantu meningkatkan bekalan beras Malaysia, dan mengurangkan kebergantungan negara dengan mengimport dari negara seperti India, Vietnam dan Thailand,” katanya.

Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, dan dua timbalannya, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Datuk Martin Ben, serta Pengerusi MARDI, Dr Azman Ismail.

BERITA LAIN

PKR Kelantan wujudkan NGO Anak Muda MADANI

PASIR MAS, Kelantan: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan akan membentuk satu badan bukan kerajaan (NGO) khas yang dikenali sebagai Anak Muda MADANI bagi menyantuni golongan

BERITA TERBARU

PKR Kelantan wujudkan NGO Anak Muda MADANI

PASIR MAS, Kelantan: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan akan membentuk satu badan bukan kerajaan (NGO) khas yang dikenali sebagai Anak Muda MADANI bagi menyantuni golongan