ARTIKEL

Karim bersama tetamu kehormat yang lain semasa menghadiri Majlis Perasmian Miri Gong Xi Bazaar di sini malam tadi.

Sarawak sentiasa alu-alukan acara berbentuk kemasyarakatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MIRI: Kerajaan Sarawak sentiasa mengalu-alukan penganjuran acara yang berbentuk kemasyarakatan di negeri ini yang membawa manfaat serta faedah kepada orang ramai khususnya penduduk setempat.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia termasuk menggalakkan perpaduan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat yang pelbagai, sekali gus merancakkan sektor ekonomi tempatan.

“Justeru, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) menyokong penganjuran Miri Gong Xi Bazaar yang berjaya mengumpulkan rakyat pelbagai kaum di bawah satu acara.

“Miri Gong Xi Bazaar ini begitu popular dan diterima oleh masyarakat tempatan di sini kerana ia memberi keutamaan kepada konsep kebersamaan dan keterangkuman yang sinonim dengan negeri kita ini.

“Tambahan pula, konsep ini sememangnya sudah sebati dengan setiap lapisan masyarakat di Sarawak sejak sekian lama, serta turut dizahirkan menerusi semangat perpaduan dan persefahaman kita bersama dalam meraikan kepelbagaian etnik, agama dan bangsa seiring dengan frasa Segulai Sejalai,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Miri Gong Xi Bazaar di sini, malam tadi.

Miri Gong Xi Bazaar diadakan pada 2 Februari lalu, dan dijangka berakhir pada 9 Februari ini, yang menampilkan lebih 300 gerai di sepanjang Jalan High Street dan Kingsway.

Acara tersebut dianjurkan sejak tahun 2000, dan pada tahun ini ia merupakan penganjuran edisi yang ke-20.

Karim serta tetamu kehormat yang lain merakam kenangan bersama dengan para pengunjung yang hadir pada Majlis Perasmian Miri Gong Xi Bazaar

BERITA LAIN

BERITA TERBARU