Trending

Sarawak sertai Majlis Tenaga Negara

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Abang Johari bersama-sama kepimpinan tertinggi PBB melakukan simbolik perasmian Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) 2023 Zon Kuching di Hikmah Exchange, di sini sebentar tadi

KUCHING: Wakil Sarawak akan diletakkan dalam Majlis Tenaga Negara, yang bakal ditubuhkan untuk menggubal dasar tenaga negara.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu sudah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengerusinya dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang kementeriannya sebagai sekretariat.

“Kita bukan ahli Suruhanjaya Tenaga Malaysia tetapi kita minta dipertimbangkan sebagai ahli dalam Majlis Tenaga Negara kerana Sarawak adalah sebuah wilayah yang telah mengutamakan kepada tenaga mesra alam iaitu tenaga hijau dan mempunyai teknologi kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) 2023 Zon Kuching di Hikmah Exchange, di sini sebentar tadi.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata dalam perancangan awal penubuhan Majlis Tenaga Negara, ia langsung tidak melibatkan Sarawak menyebabkannya tidak berpuas hati.

“Jadi waktu mereka mesyuarat di Sarawak, saya minta Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi supaya Sarawak mempunyai wakil dalam Majlis Tenaga Negara…adakah patut Sarawak tidak ada dalamnya, mana tidak saya marah,” katanya.

Beliau menegaskan Sarawak seharusnya dilibatkan dalam majlis itu kerana telah menerajui sektor tenaga hijau di Malaysia, khususnya dalam pengurangan karbon dan pengeluaran tenaga yang boleh diperbaharui.

“Kita telah menjana tenaga sama ada daripada hidro, solar, hidrogen bahkan mempunyai pendekatan baharu menggunakan biomass,” katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata Sarawak turut meneroka industri penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) yang mana tiga takungan telah dikenal pasti di luar pesisir rantau ini serta mempunyai satu bilion tan ruangan untuk menyimpan karbon.

Rafizi sebelum ini dilaporkan berkata Majlis Tenaga Negara bercadang mengadakan mesyuarat pertama seawal Oktober ini.

Penubuhan majlis itu akan menetapkan hala tuju dan dasar strategik peringkat tinggi yang membolehkan jawatan kuasa kerja untuk menyelaras dan melaporkan kemajuan mengikut peringkat.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

8 December 2023

Berita Terbaru