KUCHING: Sarawak bersedia untuk mempamerkan hasil kraf tangan dan warisan budaya sempena Minggu Kraf London 2023 pada 6 hingga 14 Mei depan.
Ia susulan penyertaan Malaysia di bawah naungan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan bakal menampilkan empat artis kraf tradisional Sarawak untuk membuat demonstrasi secara langsung semasa pameran tersebut.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, pihaknya teruja kerana berpeluang untuk mempamerkan kraf tangan dan warisan budaya Sarawak di peringkat antarabangsa pada minggu tersebut.
“Seiring dengan usaha kami untuk mepromosikan Kuching sebagai Bandar Kraf Dunia, Tunku Azizah telah memberi peluang kepada artis berbakat kita untuk menunjukkan kemahiran mereka.
“Negeri kita mempunyai 31 kumpulan etnik dan ia merupakan gambaran hebat identiti serta warisan budaya kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, menurut Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), tujuan acara tersebut adalah untuk mempromosikan kraf tangan empat artis yang terlibat ialah Shirley Vilin, Ros Salleh, Senja Jugi dan Helena David Kalum dengan menunjukkan demonstrasi langsung sulaman keringkam, tenunan pua kumbu, kraf tenunan tangan dan bakul serta manik.
“Dijangka lebih 3000 pelawat antarabangsa yang akan berpeluang mempelajari sejarah dan kepentingan setiap kraf kepada kumpulan etnik Sarawak yang unik dengan menggunakan bahan seperti seramik, sulaman dan tenunan tangan,” jelasnya.
Tambahnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengetuai delegasi tersebut kelak untuk mengukuhkan komitmen kerajaan dalam mempromosikan warisan budaya dan reputasi Sarawak sebagai destinasi kraf terkemuka serta kepelbagaian budaya negeri ini.