Sarawak siap sedia hadapi jerebu

MIRI: Sarawak sudah mula membuat persiapan awal menghadapi kemungkinan jerebu merentasi sempadan yang dijangka bakal melanda beberapa bandar, disebabkan pembakaran hutan di negara jiran sejak kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan masalah jerebu, di samping langkah berjaga-jaga yang perlu diambil minggu depan.

“Menerusi mesyuarat itu kita akan dapat maklumat terkini mengenai keadaan jerebu dan pada masa yang sama saya telah arahkan agensi-agensi yang berkaitan supaya bersiap sedia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek RM1juta kepada Persatuan Persatuan India Miri (MIA) Karambir Singh di sini semalam.

Uggah, yang juga Pengerusi JPBNS berkata susulan musim panas dan kering yang melanda Sarawak ketika ini, semua agensi perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan yang berpunca daripada pelbagai faktor yang boleh mengakibatkan ketibaan jerebu.

Semalam Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Jailan Simon dipetik Bernama sebagai berkata pantai barat Semenanjung dan barat Sarawak mulai mengalami jerebu disebabkan oleh kebakaran hutan di enam wilayah di indonesia.

Jailan berkata jerebu akan memberi kesan terhadap cuaca di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya, manakala di Sarawak ia dijangka melanda Kuching, Serian dan Samarahan.

Merujuk kepada penyampaian cek hari ini Uggah berkata ia adalah pemberian daripada Ketua menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada MIA bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan Pusat Komuniti Pelbagai Kepercayaan Masyarakat India.

Beliau berkata kos keseluruhan projek itu berjumlah RM1.5 juta dan ia dijangka siap sepenuhnya pertengahan 2020.

Sementara itu Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata kebakaran hutan disebabkan pembakaran terbuka kembali melanda Miri tahun ini dengan 150 hektar kawasan hutan di Kuala Baram dilaporkan telah terbakar, dan usaha memadamkannya telah bermula sejak dari pukul 9.00 pagi sehingga 4.00 petang, dan akan disambung lagi esok.– BERNAMA