
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan geran pendidikan berjumlah RM10 juta kepada Lembaga Pengurusan Persatuan Sekolah Menengah Cina Persendirian Sarawak untuk tahun ini.
Majlis penyerahan geran berkenaan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Presiden Persatuan Sekolah Menengah Cina Persendirian Sarawak Temenggong Datuk Lau Lee Ming, Timbalan Presiden Datuk Richard Wee Liang Chiat, Bendahari Persatuan Datuk Seri Song Tiing Seng dan Penolong Setiausaha Persatuan Kuang Wei Hua.
Persatuan Sekolah Menengah Cina Persendirian Sarawak dalam satu kenyataan menjelaskan, ia merupakan peruntukan geran pendidikan yang ke-9 oleh Kerajaan Sarawak kepada 14 buah sekolah.
“Geran yang pertama diterima pada tahun 2014 berjumlah RM3 juta, dan menyaksikan kenaikan geran sebanyak RM1 juta setiap tahun sejak itu.
“Dalam tempoh lapan tahun berturut-turut, sejumlah RM52 juta telah diperuntukan oleh Kerajaan Sarawak.
“Sehubungan itu persatuan menzahirkan penghargaan terima kasih kepada Premier Sarawak dan Kerajaan Sarawak kerana mengiktiraf sumbangan positif pendidikan Cina dalam pembangunan negeri dan negara,” jelas kenyataan tersebut.
Ujarnya, walaupun sekolah menengah Cina persendirian bukan sebahagian daripada pendidikan arus perdana negara, ia tetap berkongsi objektif murni yang sama dengan semua sekolah menengah kebangsaan di Malaysia dalam menyediakan pendidikan berkualiti.
“Oleh itu, kami merayu kepada Kerajaan Persekutuan agar sekolah menengah Cina dilayan sama rata dan berkongsi sumber negara yang sama seperti sekolah menengah lain di negara ini.
“Kerana sebagai sekolah swasta, kami tidak menerima pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Sumber pendapatan utama sekolah-sekolah ini dijana melalui sumbangan daripada pihak swasta dan orang ramai, sebahagian kecil daripada yuran sekolah,” katanya lagi.