Sarawak tanggung kos kuarantin guru

KUCHING: Kos kuarantin semua guru yang kembali ke negeri ini untuk mengajar sempena bermulanya sesi persekolahan tidak lama lagi akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kos saringan Covid-19 untuk guru dan seluruh keluarga mereka akan dibayar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kita difahamkan lebih 4,000 guru akan kembali semula ke Sarawak bermula hari ini (semalam) dan mereka akan dikuarantin di tempat ketibaan masing-masing,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Menurutnya, kemasukan semua guru ke Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan adalah wajib menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang ditetapkan selama 10 hari.
“Ujian RT-PCR akan diambil pada hari ke-2 dan hari ke-8 dan akan dibenarkan didiscaj pada hari ke-10 setelah keputusan ujian negatif. “Mereka akan menyambung baki empat hari kuarantin di rumah,” ujarnya.
Tambahnya, sementara bagi guru yang melapor diri di kawasan pedalaman, mereka akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin.
Dalam perkembangan berlainan Uggah menegaskan bahawa pendaftaran kemasukan ke sesebuah premis secara manual menggunakan buku rekod adalah wajib untuk mengisikan nama, nombor telefon dan masa memasuki premis.
“Operator premis hendaklah memastikan terdapat pekerja yang memantau pelanggan semasa pendaftaran dan saringan suhu.
“Pelanggan yang mempunyai suhu melebihi 37.5 darjah selsius dalah dibenarkan memasuki premis,” katanya.

Suara Sarawak