KUCHING: Sarawak terbuka untuk mengeksport tenaga elektrik bukan sahaja ke Singapura, Indonesia dan Brunei bahkan juga Semenanjung Malaysia.
Justeru, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan tidak nampak apa-apa yang salah untuk Sarawak mengeksport tenaga elektrik termasuk ke Singapura.

Katanya ia kerana langkah itu akan memanfaatkan kedua-dua wilayah, khususnya dari segi pelaburan dengan Singapura akan meletakkan pelaburannya di Sarawak.
“Seperti yang anda tahu, kami bukan ahli Suruhanjaya Tenaga (Malaysia). Jika kita telah membekalkan elektrik kepada rakan kita di Kalimantan, Indonesia kenapa kita tidak boleh juga membantu rakyat Singapura dan pengeluaran maksimum kepada Singapura ialah 1,000 megawatt.
“Jika ia boleh disambung melalui kabel dasar laut dan Semenanjung Malaysia kekurangan tenaga, kita boleh menyambungkan dari kabel itu ke Johor dan Johor akan mendapat tenaga daripada kami.
“Dalam erti kata lain, untuk jangka panjang ia bermaksud tenaga boleh diperbaharui hidro untuk semua orang. Apa yang penting adalah untuk kita menguruskan perubahan iklim dan alam sekitar akan mendapat manfaat,” katanya berucap pada Sidang Kemuncak Hijau dan Kelestarian Dunia 2023 (WGSS) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap banyak skeptik dan pandangan negatif daripada beberapa pihak di Semenanjung Malaysia tentang mengapa Sarawak menghantar elektrik ke Singapura dan bukan ke Semenanjung Malaysia.