KUCHING: Komitmen tinggi Sarawak dalam mempromosikan inisiatif ekonomi digital semakin mendapat perhatian antarabangsa, apabila dianugerahkan Anugerah Kerajaan Digital ASOCIO (Asian-Oceanian Computing Industry Organisation) 2023.
Anugerah yang disampaikan semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Tech ASOCIO sempena Sidang Kemuncak Digital ASOCIA 2023 di Seoul, Korea Selatan semalam itu, mengiktiraf peranan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dalam penggunaan infrastruktur dan teknologi digital.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Sri Julaihi Narawi yang mewakili Kerajaan Sarawak menerima anugerah tersebut berkata, pengiktirafan oleh sebuah organisasi ternama dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu merupakan satu penghormatan besar.
“Anugerah itu membolehkan kerajaan negeri membawa transformasi digital yang lebih besar kepada rakyatnya kerana ia memberi inspirasi keyakinan yang lebih besar dalam komuniti perniagaan global serta menarik bakat teknologi mahir.
“Ini akan memudahkan pertumbuhan dan pengembangan masa depan, sejajar dengan matlamat untuk menjadikan Sarawak kuasa ekonomi digital seperti visi Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika melancarkan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022,” katanya.

Tambahnya, pada bulan lepas Abang Johari juga telah melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030, pelan komprehensif yang disusun berdasarkan Strategi Ekonomi Digital Sarawak sedia ada.
Sementara itu, kriteria utama Anugerah Kerajaan Digital ASOCIO ialah keupayaan kerajaan untuk melaksanakan strategi dan penyelesaian digital dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat dengan ketara dan menggunakan teknologi bagi menyediakan perkhidmatan yang beretika dan telus.
Ditubuhkan pada tahun 1984, ASOCIO ialah organisasi perdagangan yang mewakili lebih daripada 10,000 syarikat ICT dari 24 negara anggota dari Asia Pasifik dengan objektif menggalakkan dan memupuk hubungan perdagangan dalam kalangan ahlinya untuk membangunkan industri pengkomputeran di rantau ini.
Deligasi Sarawak ke Seoul turut disertai Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang, Pengerusi SDEC Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SDEC Sudarnoto Osman.