Sarawak terima vaksin dos tunggal, Cansino pertengahan bulan depan

SPAOH: Sarawak dijangka menerima bekalan vaksin Cansino menjelang pertengahan Julai depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, vaksin jenis dos tunggal ini sangat sesuai digunakan oleh penduduk yang tinggal jauh di pedalaman seperti masyarakat Penan.

“Kita meminta sebanyak 650,000 dos.

“Dengan penggunaan vaksin Cansino, pasukan perubatan cuma perlu bergerak sekali sahaja untuk proses vaksinasi, ini sekali gus dapat mengurangkan kos logistik, pengangkutan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini.

Bagaimanapun jelasnya, pasukan perubatan baru-baru ini telah bergerak ke beberapa rumah panjang dan kampung di pedalaman seperti di Bahagian Miri dan Kapit untuk program vaksinasi menggunakan vaksin jenis Sinovac.

TENANG SAHAJA… Uggah menyaksikan proses vaksinasi di PPV Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini.
CEKAP… Uggah berkesempatan melihat para petugas melakukan kerja penyediaan peralatan untuk suntikan.

Suara Sarawak