KUCHING: Kira-kira 716,000 pengguna domestik di Sarawak akan terus menikmati diskaun bil elektrik 25 peratus tahun depan, dengan Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM281 juta bagi meneruskan bantuan itu.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata diskaun berkenaan akan berkuat kuasa dari Januari hingga Disember 2027 sebagai langkah mengurangkan beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat.
Pada masa sama, Kerajaan Sarawak turut meneruskan subsidi bil air RM5 sebulan di bawah program air percuma yang dijangka memanfaatkan kira-kira 600,000 pengguna domestik melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM35 juta.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan ucapan Belanjawan 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN, hari ini.
Selain bantuan utiliti, Abang Johari berkata kerajaan turut memperuntukkan RM650 juta bagi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), yang menyediakan bantuan kewangan kepada isi rumah B40, warga emas dan golongan bujang yang layak.
Katanya, penerima SKAS masing-masing akan menerima RM1,100, RM600 dan RM375.
“Bagi tujuan ini, sebanyak RM650 juta diperuntukkan di bawah Belanjawan 2027 dan langkah ini memberikan kelegaan segera bagi memastikan keluarga dapat memenuhi keperluan asas dengan bermaruah dan menjalani kehidupan yang lebih stabil,” tambahnya.
Bagi menyokong ibu dan anak, Kerajaan Sarawak katanya turut memperuntukkan RM15 juta menerusi Endowment Fund Sarawak serta Bantuan Ibu Bersalin sebanyak RM5 juta pada 2027.
Manakala, sebanyak RM45.9 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak.
Aspek kesihatan turut diberi perhatian jelas Abang Johari dengan peruntukan RM14.2 juta pada 2027 bagi bantuan perubatan dan bantuan pesakit buah pinggang, khususnya untuk membolehkan pesakit mendapatkan rawatan tepat pada masanya serta meringankan beban kos dialisis bagi pesakit buah pinggang peringkat akhir.
Bagi warga emas, katanya skim manfaat kesihatan warga emas diteruskan dengan peruntukan RM50 juta, menyediakan rawatan pesakit luar tanpa tunai sehingga RM500 setahun bagi setiap individu dalam isi rumah berpendapatan RM7,000 dan ke bawah.
“Kerajaan turut memperuntukkan RM12 juta bagi Bantuan Ihsan Kematian (BIK) menerusi Kenyalang Gold Card, yang menyediakan bantuan RM1,800 untuk meringankan beban kewangan keluarga selepas kehilangan ahli keluarga,” ujarnya.
Tambah beliau, selain bantuan kewangan dan kesihatan, Kerajaan Sarawak turut meneruskan penyediaan kemudahan sokongan sosial bagi melindungi golongan rentan.
“Pada 2027, sebanyak RM1.4 juta diperuntukkan bagi Tempat Transit Gelandangan di Sibu, Kuching, Miri dan Bintulu, manakala Pusat Komuniti Keperluan Khas menerima RM1 juta.
“Pusat Sokongan Sosial Komuniti di Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Lawas dan Mukah pula menerima peruntukan RM850,000, sementara RM300,000 disediakan bagi penubuhan Rumah Peralihan Komuniti di Sibu,” ujarnya.




