Sarawak tetap teguh tuntut hak

KUCHING: Meskipun Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak rayuan Kerajaan Sarawak dan Comptroller Cukai Jualan Negeri terhadap Petronas, namun, Kerajaan Sarawak tetap teguh menuntut haknya.

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Kerajaan Persekutuan Negeri dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, Kerajaan Sarawak akan terus teguh dan tegas menuntut Petronas memba-
yar lima peratus cukai jualan terhadap produk petroleum yang digali di Sarawak.

“Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dengan memberi kebenaran kepada Petronas untuk semakan terhadap Ordinan Cukai Jualan Negeri yang bertujuan ntuk menghapuskan notis penilaian yang dikeluarkan oleh Kerajaan Sarawak.

“Permohonan oleh Petronas untuk semakan kehakiman ituakan dikirimkan semula kepada Mahkamah Tinggi di Kuching,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook semalam.

Menurutnya, ia selari dengan Ordinan Cukai Jualan Negeri dan mempertahankannya adalah satu perjuangan apatah lagi tindakan Petronas tersebut cuba menafikan hak Sarawak.

Pada 10 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada syarikat minyak nasional itu untuk memohon semakan kehakiman bagi membatalkan Notis Penilaian membabitkan kira kira RM1.3 bilion SST.

Semakan kehakiman itu turut membolehkan Petronas mengisytiharkan seksyen tertentu dalam Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak sebagai ultra vires kepada Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan supaya semakan kehakiman Petronas didengar di Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Jumlah RM1.3 bilion SST yang tidak dibayar dan penalti itu dikira sehingga 30 Jun 2019.

Secara berasingan, saman sivil Kerajaan Sarawak terhadap Petronas kerana tidak membayar SST dan penalti akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuching pada 14 Januari.