ARTIKEL

Sarawak tidak beli lima kereta hidrogen, ia pemberian Toyota

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak membeli lima buah kereta berkuasa hidrogen, Toyota Mirai tetapi ia merupakan pemberian daripada pihak UMW Toyota Motor.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia kerana Sarawak satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai kemudahan fasiliti hidrogen.

“Kerajaan Sarawak tidak membeli kenderaan tersebut tetapi kerana kita adalah satu-satunya negeri yang mempunyai fasiliti hidrogen, maka pihak UMW Toyota memberikannya kepada kerajaan.

“Ia bertujuan untuk mempromosikan tenaga hijau kerana Sarawak adalah penggalak utama dalam tenaga hijau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan yang meminta penjelasan sama ada lima buah kereta tersebut dibeli oleh pihak kerajaan atau sebaliknya.

Voon dalam kenyataannya berkata Kerajaan Sarawak seharusnya berjimat-cermat dan menggunakan perbelanjaan bagi membantu rakyat, bukannya membeli lima buah kereta Toyota Mirai berkuasa hidrogen berteknologi tinggi.

Sementara itu untuk rekod pada Rabu lalu, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) menyerahkan tiga unit kereta Toyota Mirai kepada ketiga-tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Datuk Sri Profesor Dr Sim Kui Hian.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain, hanya terdapat lima Toyota Mirai diperuntukkan kepada Malaysia.

“Sebenarnya ia diperuntukkan untuk Kerajaan Persekutuan, tetapi memandangkan tiada stesen hidrogen di Semenanjung Malaysia dan hanya Sarawak yang memilikinya, maka kelima-lima kereta itu diberikan kepada negeri ini.

“Jadi tahun depan kalau ada lagi peruntukan untuk SEDC, mungkin kita serahkan kepada menteri yang lain. Lima kereta ini pula adalah untuk Premier Sarawak, tiga timbalan premier dan satu kepada SEDC,” katanya lagi.

Beliau berkata, bagi menggalakkan lagi penggunaan kereta berkenaan pada masa akan datang, SEDC merancang akan membina lima stesen hidrogen dengan dua daripadanya sedia ada kini di Kuching iaitu di Stesen PETROS di Darul Hana dan satu di Batu Kawa.

Sementara yang lain dalam perancangan adalah di Bintulu, Miri, Sibu serta Sri Aman manakala di tempat lain pembinaan stesen adalah berasaskan stesen pelbagai bahan api Dealer Owned, Dealer Operated (DODO) (stesen dimiliki dan diusahakan peniaga).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU