Sarawak tingkatkan kewaspadaan

KUCHING: Pada masa ini adalah penting untuk menyelaraskan agensi Persekutuan dan Negeri dalam meletakkan Sarawak ke tahap berjaga-jaga berikutan penularan wabak novel koronavirus yang sangat cepat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dalam laman Facebook berkata, selain membantu Kementerian Kesihatan Malaysia di Sarawak, Kerajaan Sarawak akan melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengelakkan penularan virus tersebut.

“Sarawak akan melaksanakan beberapa inisiatif di bawah autonomi dan hak Sarawak sebagai langkah berwaspada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) mengenai novel koronavirus yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata, Kerajaan Sarawak akan mewujudkan instrumen baharu bagi memantau perjalanan setiap individu yang memasuki pintu utama ke negeri ini sebagai usaha mengekang penularan novel koronavirus.

Novel koronavirus telah mencatatkan sebanyak 2,811 kes di seluruh dunia yang menyebabkan 80 rakyat negara China meninggal dunia.

Suara Sarawak