Sarawak tolak politik agama

KUCHING: Sarawak tidak mengamalkan atau menggunakan agama sebagai alat politik untuk menyerang orang lain, kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ahmad Ibrahim.

Sehubungan itu, katanya rakyat Sarawak yang berbilang agama dan kaum hidup dalam harmoni selama ini.

“Misalnya isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu, Sarawak tidak pernah mengalami masalah sejak dahulu lagi sama ada Bible diterjemahkan dalam bahasa Melayu atau menggunakan perkataan Allah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad, keharmonian yang dikecapi di Sarawak ini adalah hasil daripada amalan politik sihat yang diamalkan di Sarawak, khususnya Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menerajui kepimpinan kerajaan Sarawak.

“GPS sibuk memperbaiki kehidupan rakyat dengan mewujudkan peluang dan infrastruktur yang baik.

“Kita kurang berpolitik dan tetap fokus pada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata tidak seperti Pakatan Harapan (PH) khususnya Parti Tindakan Demokratik (DAP) apabila semua yang dijanjikan tidak dapat ditunai termasuklah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), menghapuskan tol, mengembalikan hak dan kuasa Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta banyak lagi.

Sebaliknya, Ahmad berkata kerajaan Sarawak sejak pentadbiran allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) telah mengiktiraf EUC, menghapuskan tol, memansuhkan cukai tanah malah terus memperjuangkan untuk mengembalikan hak dan kuasa Sarawak di bawah MA63.

“Apabila mengambil alih Putrajaya, kerajaan PH bukannya menunaikan janji tetapi membatalkan projek-projek untuk Sarawak seperti jambatan, yang amat diperlukan untuk keselesaan dan menghubungkan rakyat.

“Pemimpin DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kemudian mengalihkan peruntukan untuk Sarawak itu kepada Pulau Pinang, Kedah, Melaka dan negeri-negeri di Semenanjung,” katanya.

Ahmad Ibrahim