KUCHING: Sarawak berjaya memperoleh hak untuk menjadi tuan rumah penganjuran Persidangan Persatuan Pengurusan Sukan Asia 2023 (AASM 2023).
Bertempat di salah sebuah hotel terkemuka di bandar ini, persidangan tersebut dijadual berlangsung pada 19 dan 20 Ogos depan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan ia satu berita gembira buat dunia sukan Sarawak.
Menurutnya, persidangan seumpama itu mampu memperkasa pembangunan sukan di negeri ini sejajar dengan status Sarawak yang akan menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
“AASM 2023 dianjurkan dan dihoskan oleh AASM, Universiti Curtin Miri dan Persatuan Pengurusan & Pentadbiran Sukan Malaysia (SMAS).
“Ia akan menjadi titik penting bagi pihak berkepentingan sukan tempatan, kebangsaan dan antarabangsa mencakupi para pelajar sukan, ahli akademik dan mereka yang bekerja dalam industri terbabit untuk meneroka potensi kerjasama penyelidikan, penempatan latihan dan pengurusan data peluang,” ujarnya pada sidang media di Baitulmakmur II, di sini, sebentar tadi.