Sarawak tuan rumah Hari Malaysia 2019

KUCHING: Sarawak akan menjadi tuan rumah untuk sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September nanti.

Ini disahkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di mana beliau sudah mempersetujuinya.

Menurutnya, sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Kuching adalah dicadangkan oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad semasa mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bulan lepas.

“Saya menerima cadangan Perdana Menteri dan maklumkan kepada beliau bahawa Sarawak bersedia menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia tahun ini…Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga ada waktu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemu-bual semasa mengunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri Datuk Seri Fadillah Yusof di Kompleks CIDB Wilayah Sarawak di sini, hari ini.

Abang Johari berkata sebuah jawatankuasa bersama akan ditubuhkan antara kerajaan Sarawak dan Putrajaya untuk menganjurkan sambutan tersebut.

Abang Johari (duduk, tiga kanan) merakamkan gambar kenangan dengan Fadillah (duduk, tiga kiri) serta keluarga.