ARTIKEL

Sarawak tubuh empat pasukan bertindak tangani COVID-19

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING:  Sarawak semalam menubuhkan empat pasukan bertindak bagi memperkukuh aspek pengurusan penularan wabak COVID-19 di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata pasukan bertindak pertama yang diketuai seorang pakar perubatan dan bekas Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Jamilah Hashim akan mengkaji dan membuat cadangan bagaimana untuk mempercepatkan penurunan lengkung COVID-19 yang meningkat.

“Antara perkara dititikberatkan (pasukan ini) adalah isu berkaitan dengan notifikasi kes, penyiasatan kes, pengesanan kontak, pengesanan aktif kes, pendidikan kesihatan dan sebagainya,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata pasukan bertindak kedua akan diketuai seorang lagi bekas Pengarah Kesihatan Negeri, Prof Datuk Dr Andrew Kiyu untuk melihat dan mengemukakan cadangan persiapan untuk menghadapi gelombang COVID-19 akan datang.

“Sama ada kecil ataupun besar, kita perlu belajar daripada masalah yang kita hadapi semasa gelombang COVID-19 yang kecil dan cuba untuk memperbaikinya (kaedah penyelesaian masalah),” katanya.

Dr Kiyu juga akan mengetuai satu lagi pasukan bertindak yang ditugaskan untuk memperoleh dan menganalisis data berhubung COVID-19 di Sarawak dengan menggunakan kepakaran sedia ada dalam kalangan ahli pasukan petugas atau dengan mengambil pakar daripada luar.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata secara asasnya pasukan itu mengetahui data yang diperlukan untuk dianalisis dan tindakan segera yang boleh dilakukan berdasarkan hasil analisis terhadap data berkenaan.

“Saya mahu tindakan kita didasarkan kepada (bukti) sains serta data, dan kita tidak boleh menguruskan penularan COVID-19 secara membuta tuli,” katanya.

Menurutnya, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Hui Kian pula dilantik mengetuai pasukan bertindak untuk merangka pelan persediaan menghadapi kemungkinan gelombang lebih besar COVID-19.

“Saya mahu pegawai kesihatan dari Hospital Umum Sarawak (termasuk pengarah, pakar perubatan penyakit berjangkit, ketua makmal dan ahli farmasi) untuk berada dalam pasukan bertindak ini. Dr Sim akan memutuskan mana-mana pegawai lain yang akan dimasukkan dalam pasukan bertindak ini,” katanya.– BERNAMA

BERITA LAIN

Wanita rentung dalam kebakaran

KUCHING: Seorang wanita berusia 35 tahun ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Taman Kim Pang di sini, petang tadi. Jurucakap

BERITA TERBARU