
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu Kerajaan Persekutuan yang baharu memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah Belanjawan Pembangunan tahunan ke Sarawak.
Katanya ia memandangkan sumbangan besar Sarawak kepada pertumbuhan ekonomi negara serta tabung Kerajaan Persekutuan dari segi kutipan cukai dan sumber pendapatan lain terutamanya daripada minyak dan gas.
“Saya juga menggesa agar peruntukan itu disalurkan terus kepada Akaun Amanah Negeri bagi mempercepatkan pelaksanaan projek yang dibiayai oleh persekutuan di negeri ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, Bajet Persekutuan 2023 yang dibentangkan baru-baru ini, yang memperuntukkan RM5.4 bilion untuk Belanjawan Pembangunan kepada Sarawak adalah tidak mencukupi.
“Jumlah ini hanya mewakili 5.7 peratus daripada jumlah Belanjawan Pembangunan Persekutuan sebanyak RM95 bilion untuk 2023 dan jelas sekali masih jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan pembangunan dan menangani ketidakseimbangan antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak telah mengemukakan kepada Kerajaan Persekutuan formula untuk mengkaji semula pemberian khas untuk Sarawak.
Katanya rundingan bagi kelayakan Geran Khas Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan telah diteruskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Bersama di bawah Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963.
“Justeru, saya mohon Kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan yang sewajarnya dan serius terhadap cadangan kami yang adil dan saksama kepada negeri,” katanya.
Selain itu, Abang Johari juga menggesa Kerajaan Persekutuan yang baharu menyegerakan pembentangan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 (Akta 533) di Parlimen, bagi membolehkan wakil dari Sarawak dan Sabah dimasukkan ke dalam Lembaga Pengarah Hasil Dalam Negeri.
Katanya ia susulan keputusan Kabinet Persekutuan sebelum ini yang bersetuju untuk meletakkan wakil dari Sarawak dan Sabah dalam Lembaga Pengarah Hasil Dalam Negeri selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau menambah perwakilan itu perlu dan kritikal untuk memastikan Sarawak menerima bahagian yang sah dalam hasil cukai yang dikembalikan kepada negeri.